WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan untuk menyiasat pelanggaran hak asasi manusia di wilayah Palestin.
Tindakan itu dalam usaha terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menghukum pengkritik perang 21 bulan Israel di Gaza.
Keputusan Jabatan Negara mengenakan sekatan terhadap Pelapor Khas PBB bagi Tebing Barat dan Gaza, Francesca Albanese, dibuat selepas kempen tekanan AS baru-baru ini, gagal memaksa badan antarabangsa itu menyingkirkan beliau daripada jawatan tersebut.
Albanese, seorang peguam hak asasi manusia, lantang menyuarakan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.
Bagaimanapun, Israel dan sekutu rapatnya, AS, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Albanese mengeluarkan beberapa surat, menggesa negara lain supaya memberikan tekanan kepada Israel termasuk melalui sekatan, bagi menamatkan pengeboman kejam di Gaza.
Wanita warga Itali itu juga lantang menyokong langkah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) yang mendakwa beberapa pegawai tertinggi Israel, termasuk Perdana Menteri, Benjamin
Netanyahu, atas tuduhan melakukan jenayah perang.
Baru-baru ini, Albanese turut mengeluarkan satu laporan menamakan beberapa syarikat gergasi AS sebagai antara pihak yang membantu penjajahan serta perang Israel di Gaza.










