WASHINGTON: Jika dahulunya anjing diguna untuk mengawal kem keselamatan, kini pangkalan udara tentera Amerika Syarikat (AS) pula mengadaptasi teknologi moden dengan menggunakan ‘cyborg coyote’ bagi menakutkan haiwan liar yang mengancam operasi ketenteraan.
Rekaan yang kelihatan seperti serigala palsu itu bukanlah binatang sebenar, tetapi sistem robotik beroda yang bergerak sendiri tanpa pemandu.
Reka bentuk menyerupai coyote tersebut dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Jurutera Tentera AS (ERDC) bagi tujuan menakutkan hidupan liar, terutamanya burung, yang sering mengganggu operasi penerbangan di pangkalan udara.
Dalam kenyataan media ERDC, pihaknya memaklumkan projek itu dijalankan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Hidupan Liar Kebangsaan Jabatan Pertanian AS (USDA-NWRC) bagi menguji keberkesanan sistem tersebut.
“Matlamat utama adalah untuk menakutkan haiwan liar. Kami menjalankan pelbagai kajian untuk melihat sejauh mana teknologi ini dapat mengurangkan ancaman kepada juruterbang dan aset ketenteraan,” ujar ERDC.
Percubaan awal sistem itu dilaporkan berjaya di Stesen Udara Tentera Laut Whiting Field dan Pensacola, Florida, serta Fort Campbell, Kentucky.
Sistem robotik ini turut dilengkapi dengan kecerdasan buatan (AI), teknologi pembelajaran mesin, kamera serta pelbagai sensor bagi tujuan navigasi dan pemantauan.










