Ahli Parlimen Muslim pertama Australia seru negara iktiraf Palestin - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Muslim pertama Australia seru negara iktiraf Palestin

ED HUSIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Menteri kerajaan dan Ahli Parlimen Muslim pertama Australia, Ed Husic, menggesa negaranya mengiktiraf Palestin, mengikuti langkah yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, dalam usaha menyokong gelombang momentum moral global.

Husic, wakil Parti Buruh yang dipilih pada 2010, menyuarakan gesaannya menjelang pertemuan lanjut antara Perdana Menteri Anthony Albanese dan rakan sejawatnya dari Britain dalam beberapa hari akan datang.

Starmer baru-baru ini berjanji Britain akan mengiktiraf Palestin pada September sekiranya Israel gagal mencapai gencatan senjata dengan Hamas, antara syarat lain yang ditetapkan.

Menurut Husic, jika Australia turut mengiktiraf Palestin, ia boleh melemahkan sokongan terhadap Hamas di Gaza dan mempercepatkan proses damai.

“Hamas sebahagian besarnya dibina atas dasar kelukaan dan rasa tidak puas hati. Kelukaan itu boleh dihapuskan dengan penubuhan negara Palestin yang disokong dan diperkukuh oleh komuniti antarabangsa melalui pembangunan institusi demokrasi,” katanya.

Bekas menteri itu juga menyatakan bahawa semakin ramai ahli Parlimen Parti Buruh berasa kecewa dengan situasi di Gaza, dan beliau menyeru mereka agar menyuarakan sokongan secara terbuka terhadap pengiktirafan Palestin.

“Ada perasaan yang mendalam dalam kalangan ahli parti bahawa ini adalah langkah yang betul. Saya lebih suka jika rakan-rakan seperjuangan menyatakan pendirian mereka sendiri,” tambah Husic.

Menteri Luar Australia, Penny Wong sebelum ini turut menandatangani kenyataan antarabangsa yang menyeru kepada gencatan senjata segera antara Israel dan Hamas.

Namun begitu, Albanese masih belum menyatakan komitmen untuk mengikuti langkah Britain dalam masa terdekat.

Walaupun kerajaan Australia sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertindak seiring dengan rakan antarabangsa dalam menangani krisis Gaza, Albanese menekankan bahawa sebarang keputusan mesti berpaksikan kepada kemajuan ke arah penyelesaian dua negara.

“Apa yang saya katakan ialah, bukan garis masa yang menjadi keutamaan kami, tetapi keadaan yang sesuai untuk menjayakan matlamat dua negara.

“Saya telah lama menyokong penyelesaian dua negara bukan semata-mata kenyataan politik, tetapi untuk mencapai keamanan yang sebenar,” katanya di Parlimen selepas perbualan dengan Starmer.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN