10 kanak-kanak antara maut ditembak Zionis ketika beratur di pusat perubatan - Utusan Malaysia

10 kanak-kanak antara maut ditembak Zionis ketika beratur di pusat perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk 10 kanak-kanak, terbunuh akibat serangan udara Israel ketika mereka sedang beratur di luar sebuah pusat perubatan di tengah Gaza, dalam serangan yang semakin memuncak dan telah meragut 82 nyawa di seluruh wilayah itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Peningkatan serangan oleh tentera Israel berlaku ketika para perunding menyatakan perjanjian gencatan senjata di Gaza kini hampir dicapai, namun masih belum dimuktamadkan.

Menurut sumber perubatan, serangan yang berlaku pada pagi Khamis itu menyasarkan orang awam yang sedang menunggu untuk mendapatkan bantuan pemakanan dan rawatan perubatan di hadapan sebuah pusat perubatan di Deir al-Balah. Organisasi Project Hope, yang mengendalikan fasiliti tersebut, mengumumkan bahawa operasi klinik itu digantung buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

“Pagi ini, keluarga tidak bersalah diserang tanpa belas kasihan ketika mereka sedang beratur menunggu pintu dibuka. Ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Ketua Eksekutif Project Hope, Rabih Torbay.

Tentera Israel dalam kenyataannya berkata serangan itu menyasarkan seorang pengganas Hamas yang terlibat dalam serangan pada 7 Oktober 2023, namun mereka “kesal sekiranya terdapat mangsa dalam kalangan orang awam yang tidak terlibat”, dan menyatakan insiden itu sedang disiasat.

“Apakah salah kami? Apa salah kanak-kanak itu?”

“Saya lihat seorang ibu memeluk anaknya di atas tanah, kedua-duanya tidak bergerak dan mereka mati serta-merta,” kata Mohammed Abu Ouda, 35 tahun, yang berada di lokasi semasa kejadian.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, selain insiden di Deir al-Balah, serangan dan tembakan Israel di lokasi lain di Seluruh Semenanjung Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang lagi, termasuk 15 orang dalam lima serangan berasingan di Bandar Gaza.

Pada hari Rabu, Hamas dilaporkan telah bersetuju untuk membebaskan 10 tebusan sebagai pertukaran kepada perjanjian gencatan senjata. Presiden AS, Donald Trump, turut menyatakan keyakinannya perjanjian boleh dicapai dalam minggu ini atau minggu hadapan, menyifatkan peluang itu sebagai “amat cerah”.

Namun begitu, Qatar, yang menjadi perantara dalam rundingan tidak langsung, memberi amaran bahawa perjanjian mungkin mengambil masa kerana masih terdapat beberapa halangan utama. Antaranya, Israel mahukan hak untuk menyambung semula operasi ketenteraan di Gaza selepas gencatan senjata, manakala Hamas mahukan jaminan bahawa Israel tidak akan memulakan semula peperangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN