TEL AVIV: Iran didakwa melancarkan peluru berpandu yang membawa muatan bom kluster ke arah kawasan penempatan padat di Israel pada Khamis, menjadikannya serangan pertama seumpama itu sejak perang Iran-Israel tercetus tujuh hari lalu, menurut kenyataan tentera Israel dan Kedutaan Israel di Washington.
Menurut kenyataan melalui e-mel kepada agensi Reuters, Kedutaan Israel memaklumkan pasukan bersenjata Iran telah melancarkan peluru berpandu yang mengandungi submunisi (bom kecil) kluster ke kawasan awam bagaimanapun, lokasi tepat serangan tidak didedahkan.
“Senjata kluster direka untuk tersebar luas dan meningkatkan kemungkinan serangan yang memudaratkan,” jelas kenyataan itu.
“Iran dengan sengaja menyasarkan kawasan penempatan awam dan berusaha memaksimumkan kerosakan terhadap orang awam melalui penggunaan senjata berkuasa sebaran luas ini,” tambah kenyataan tersebut lagi.
Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan berkenaan.
Media tempatan Israel memetik kenyataan tentera yang memaklumkan kepala peledak peluru berpandu tersebut meletup di udara pada ketinggian kira-kira 7 kilometer dan melepaskan sekitar 20 submunisi dalam radius sejauh 8 kilometer merentasi wilayah tengah Israel.
Satu daripada submunisi tersebut dilaporkan mengenai sebuah rumah di bandar Azor, tengah Israel, menyebabkan kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, menurut koresponden tentera Times of Israel, Emanuel Fabian.
Tentera Israel turut mengeluarkan grafik amaran kepada orang awam berkaitan bahaya bahan letupan yang belum meletup susulan penggunaan senjata kluster tersebut.
Iran dan Israel tidak menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Larangan Bom Kluster 2008, yang melarang pengeluaran, penyimpanan, pemindahan dan penggunaan bom kluster di mana perjanjian itu telah disahkan oleh 111 buah negara dan 12 entiti lain.
Ketiga-tiga negara iaitu Iran, Israel dan Amerika Syarikat kekal menolak untuk menyertai konvensyen berkenaan. -AGENSI









