NEW YORK: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengancam untuk menarik balik akreditasi Universiti Columbia selepas didakwa gagal menangani gangguan terhadap pelajar Yahudi, sekali gus meletakkan reputasi serta dana persekutuan institusi terkemuka itu dalam bahaya.
Langkah tegas itu mencerminkan kesungguhan pentadbiran Presiden Donald Trump dalam mengekang sikap sambil lewa beberapa universiti elit terhadap gelombang protes anti-Israel yang tercetus susulan perang di Gaza.
Beberapa universiti utama di Amerika Syarikat, termasuk Universiti Columbia, sebelum ini dilapor tunduk kepada tekanan daripada pentadbiran Trump yang menuduh institusi pengajian tinggi cenderung terlalu ‘berhaluan kiri’ dan gagal melindungi pelajar Yahudi.
“Universiti Columbia hanya membutakan mata apabila pelajar Yahudi berdepan gangguan dan intimidasi,” kata Setiausaha Pendidikan AS, Linda McMahon menerusi platform X.
Beliau menuduh universiti Ivy League itu melanggar Akta Hak Sivil Persekutuan, yang melarang mana-mana penerima dana kerajaan persekutuan daripada melakukan diskriminasi berdasarkan bangsa, warna kulit atau asal usul negara.
“Selepas serangan pengganas Hamas pada 7 Oktober 2023, pihak kepimpinan Universiti Columbia bertindak dengan acuh tak acuh terhadap gangguan yang dialami pelajar Yahudi di kampus,” tegasnya dalam satu kenyataan rasmi.
“Ini bukan sahaja tidak bermoral, malah melanggar undang-undang,” tambahnya lagi.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan AS, pejabat hak sivil agensi itu telah mengemukakan makluman rasmi kepada badan pemberi akreditasi universiti berkenaan, iaitu Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Middle States, mengenai Universiti Columbia telah melanggar undang-undang antidisriminasi persekutuan dan gagal memenuhi piawaian akreditasi yang ditetapkan.
Sekiranya akreditasi itu ditarik balik, universiti tersebut bukan sahaja akan hilang kelayakan menerima dana persekutuan, malah para pelajarnya turut berisiko kehilangan akses kepada geran dan pinjaman pendidikan daripada kerajaan AS.
Untuk rekod, Universiti Columbia telah pun kehilangan dana berjumlah AS$400 juta (RM1.6 bilion) susulan tindakan terdahulu oleh pentadbiran Trump yang mendakwa universiti itu gagal menangani isu berkaitan keselamatan pelajar Yahudi di kampus. -AGENSI










