Tentera Marin dikerah ke Los Angeles, bantahan merebak ke bandar lain

Tentera Marin dikerah ke Los Angeles, bantahan merebak ke bandar lain

PENUNJUK perasaan bertempur dengan pasukan penguatkuasa undang-undang di sekitar bangunan persekutuan semasa protes anti serbuan imigresen di Los Angeles.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengarahkan Marin Amerika Syarikat (AS) dan 2,000 lagi anggota Pengawal Kebangsaan dihantar ke Los Angeles, susulan protes ribuan penunjuk perasaan terhadap serbuan imigresen di bandar itu.

Langkah itu didakwa sebagai sebahagian daripada strategi persekutuan untuk meredakan demonstrasi jalanan yang berlarutan selama empat hari berturut-turut.

Pengerahan luar biasa 700 anggota tentera profesional sepenuh masa, dan ribuan Pengawal Kebangsaan, dijangka meningkatkan ketegangan di Los Angeles, bandar yang majoriti penduduk Latin.

Marin AS dikenali sebagai angkatan pertama Amerika yang menawan kawasan pantai dalam campur tangan tentera AS, dan pasukan terakhir yang berundur dari sebarang pendudukan.

Gabenor California, Gavin Newsom, mengecam langkah tersebut sebagai tindakan ‘gila’.

“Marin AS berkhidmat dengan penuh hormat dalam pelbagai peperangan demi mempertahankan demokrasi.

“Mereka tidak sepatutnya dikerahkan di tanah air sendiri berdepan rakyat sendiri demi memenuhi fantasi gila seorang presiden yang bersifat diktator. Ini bukan nilai Amerika,” kata Newsom di X.

Penempatan tentera dilakukan selepas penunjuk perasaan memenuhi jalan utama di pusat bandar Los Angeles pada Ahad, membakar kereta dan merompak kedai dalam insiden yang menyaksikan pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata serta peluru getah bagi menyuraikan orang ramai.

ANCAM TINDAKAN TEGAS

Bercakap kepada pemberita kelmarin, Trump menegaskan individu yang mencetuskan kekacauan dianggap penghasut dan pemberontak.

Di media sosial, Trump turut mendakwa penunjuk perasaan meludah ke arah anggota dan mengancam tindakan lebih tegas jika keadaan itu berterusan.

“Saya janji mereka akan dikenakan tindakan lebih keras daripada apa yang pernah mereka alami sebelum ini. Rasa tidak hormat seperti itu tiada toleransi,” katanya.

Hari keempat tunjuk perasaan yang tercetus susulan penangkapan puluhan individu yang didakwa pihak berkuasa merupakan pendatang tanpa izin dan kumpulan samseng, berlangsung dengan aman kelmarin.

Ketua Polis Los Angeles, Jim McDonnell berkata, pihak berkuasa tempatan masih dapat mengawal keadaan di bandar itu.

“Kami mempunyai pengalaman berdekad-dekad dalam mengurus tunjuk perasaan awam berskala besar, dan yakin keupayaan untuk melaksanakannya secara profesional serta berkesan.

“Kehadiran tentera persekutuan tanpa penyelarasan langsung mencetuskan cabaran logistik dan berisiko menimbulkan kekeliruan semasa insiden kritikal,” katanya kepada wartawan.

PROTES KINI MEREBAK 

Bukan hanya mengakibatkan puluhan tangkapan, protes ganas itu turut mengakibatkan beberapa kerosakan harta benda.

Bantahan sama turut merebak di sekurang-kurangnya sembilan bandar lain di AS pada Isnin, termasuk New York, Philadelphia dan San Fransisco, menurut saluran berita tempatan.

Di Austin, Texas, polis melepaskan peluru getah dan menahan beberapa individu selepas berlaku pergelutan dengan ratusan penunjuk perasaan.

Sebelum tindakan menyuraikan protes di Los Angeles, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar sebuah pusat tahanan sambil melaung ‘bebaskan mereka semua’, mengibar bendera Mexico dan Amerika Tengah serta melontarkan kata-kata kesat terhadap anggota persekutuan.

Keselamatan Dalam Negeri berkata, bahagian Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) menahan 2,000 pesalah imigresen setiap hari sejak kebelakangan ini, jauh melebihi purata harian sebanyak 311 orang pada tahun fiskal 2024 di bawah bekas Presiden Joe Biden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN