LONDON: Puluhan ribu penunjuk perasaan proPalestin berhimpun di beberapa bandar utama dunia termasuk Eropah menuntut perang Gaza ditamatkan segera di tengah-tengah kebimbangan campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik antara Iran dan Israel bakal mencetuskan ketegangan serantau yang lebih meluas.
Di London, wartawan AFP menyaksikan puluhan ribu peserta yang mengibarkan bendera Palestin dan mengenakan selendang keffiyeh ketika berarak di ibu kota Britain.
Di Berlin, lebih 10,000 orang berhimpun di pusat bandar sebagai tanda sokongan kepada Gaza, menurut angka polis.
Sementara itu di ibu negara Switzerland, Bern, penganjur perhimpunan menganggarkan seramai 20,000 orang berkumpul di hadapan bangunan Parlimen negara, menggesa kerajaan Persekutuan menyokong gencatan senjata di wilayah berkenaan.
Sejak bermulanya perang yang telah berlangsung selama 20 bulan antara Israel dan Hamas, protes bulanan sering diadakan di London.
Pada Sabtu, penunjuk perasaan membawa sepanduk seperti ‘Hentikan penjualan senjata kepada Israel’ dan ‘Tiada perang ke atas Iran’ sambil berarak dalam cuaca panas terik.
“Adalah penting untuk kita ingat rakyat di Gaza sedang menderita. Saya bimbang semua perhatian kini akan beralih kepada Iran.
“Saya bukan penyokong kuat rejim Iran, tetapi situasi sekarang sangat berbahaya. Ini adalah kali ketiga saya menyertai protes pro-Palestin,” kata seorang penunjuk perasaan, Harry Baker, 34 tahun.
Ketegangan Serantau
Perarakan tersebut berlangsung di tengah-tengah ketegangan antarabangsa yang memuncak selepas AS menggugurkan enam bom ‘bunker buster’ terhadap loji nuklear Fordow dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu cruise dari kapal selam ke dua tapak lain dalam serangan menyasarkan program nuklear Iran semalam.
Teheran pada Sabtu mendakwa lebih 400 orang terbunuh di Iran sejak Israel melancarkan serangan minggu lalu dengan dakwaan Iran hampir memperoleh senjata nuklear namun dinafikan republik itu.
Manakala di Israel, kira-kira 25 orang disahkan terbunuh setakat ini menurut angka rasmi.
Seorang seorang pelajar Iran berusia 31 tahun yang menyertai demonstrasi di London berkata, dia mempunyai keluarga di Iran dan berasa amat bimbang dengan keadaan mereka kini.
“Saya bimbang tentang negara saya. Saya tahu rejim itu bermasalah, tetapi itu tetap negara saya. Saya takut,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Menurut agensi-agensi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), situasi kebuluran di Gaza makin bertambah buruk dari hari ke hari susulan sekatan bantuan oleh Israel dan kekejaman tentera rejim melepaskan tembakan rambang di pusat agihan bekalan.
Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan ratusan penduduk terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat agihan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS dan Israel.
“Orang ramai perlu terus memberi perhatian kepada Gaza. Di situlah pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku,” kata seorang penunjuk perasaan, Nicky Marcus, 60 tahun.
Protes di Berlin dan Bern
Di Berlin, para peserta berkumpul pada waktu petang berdekatan Parlimen, sebahagiannya melaungkan slogan seperti ‘Jerman biayai bom Israel’.
“Anda tidak boleh hanya duduk diam di sofa. Sekaranglah masanya untuk kita semua bersuara,” kata seorang penunjuk perasaan, Gundula, yang enggan memberikan nama penuh.
Bagi seorang peserta demonstrasi, Marwan Radwan, protes itu bertujuan menarik perhatian dunia terhadap genosid kejam yang masih berterusan serta ‘kerja kotor’ yang dilakukan oleh kerajaan Jerman.
Sementara itu di Bern, para penunjuk perasaan membawa sepanduk menyeru kerajaan Persekutuan agar campur tangan dalam konflik Gaza dan menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh pelbagai organisasi termasuk Amnesty International, Parti Demokratik Sosial, Parti Hijau dan Persekutuan Kesatuan Sekerja Switzerland.
Antara slogan yang dilaungkan termasuk ‘Hentikan penjajahan’, ‘Hentikan kebuluran, hentikan keganasan’, dan ‘Hak untuk menentukan nasib sendiri’.
Sebahagian peserta turut melaungkan slogan kebersamaan antaranya, ‘Kita semua adalah anak-anak Gaza’.
Jumlah korban di Gaza sejak perang bermula melebihi 55,637 orang.
Israel menafikan dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai dan menegaskan matlamatnya untuk memusnahkan Hamas selepas serangan pada 7 Oktober 2023.









