TEL AVIV: Sekurang-kurangnya 30 orang cedera dalam beberapa siri serangan peluru berpandu oleh Iran terhadap beberapa kawasan strategik di Israel
Menurut laporan Al Jazeera, antara kawasan yang terjejas ialah Gush Dan di tengah Israel yang meliputi bandar raya Tel Aviv, termasuk Holon, Ramat Gan dan Be’er Sheva di selatan negara haram itu.
Beberapa bangunan dilaporkan rosak teruk manakala sebuah struktur kediaman di Holon dilaporkan runtuh akibat impak letupan.
Pusat Perubatan Soroka, satu daripada hospital utama di Be’er Sheva, mengalami kerosakan pada struktur luar bangunan bersebelahan, dipercayai akibat gelombang letupan dari peluru berpandu yang meletup di kawasan berhampiran.
Tiada kebocoran bahan berbahaya dilaporkan dan orang awam diminta menjauhi kawasan insiden sementara pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
Agensi kecemasan Magen David Adom mengesahkan sekurang-kurangnya dua individu berada dalam keadaan kritikal, manakala lebih 20 lagi mengalami kecederaan ringan, termasuk dalam serangan berasingan di Ramat Gan dan Holon.
Sementara itu, media rasmi Iran IRNA melaporkan sasaran utama serangan tersebut adalah pusat komando dan risikan tentera Israel (IDF C4I) serta kem tentera di Taman Teknologi Gav-Yam, yang terletak berhampiran Hospital Soroka.
Menurut IRNA, kemudahan ketenteraan tersebut menjadi sasaran tepat dalam operasi yang disasarkan terhadap infrastruktur pertahanan Israel.
Bangunan Bursa Saham Tel Aviv turut mengalami kerosakan dalam serangan terbabit.









