DUBAI: Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Singapore Airlines (SIA) mengambil langkah berjaga-jaga susulan serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap tapak nuklear Iran yang dipercayai boleh meningkatkan risiko terhadap operasi penerbangan di Asia Barat.
Safe Airspace, sebuah organisasi pemantau keselamatan ruang udara yang dikendalikan oleh OPSGROUP, pada Ahad memberi amaran tindakan ketenteraan AS di Iran mungkin menyebabkan peningkatan risiko kepada pengendali pesawat AS di rantau itu.
“Walaupun tiada ancaman khusus terhadap penerbangan awam setakat ini, Iran pernah mengancam akan membalas dengan menyerang kepentingan ketenteraan AS di Asia Barat sama ada secara langsung atau melalui proksi seperti Hezbollah,” menurut kenyataan Safe Airspace.
Israel sebelum ini menutup ruang udaranya susulan serangan peluru berpandu dari Iran, telah membuka semula ruang udara selama enam jam pada Ahad bagi membolehkan rakyatnya yang terkandas di luar negara pulang ke tanah air.
Langkah itu dibuat selepas Israel menerima serangan awal pagi melibatkan peluru berpandu dari Iran, menjadikan ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak sejak kperang tercetus.
FlightRadar24 melaporkan syarikat penerbangan terus mengelak daripada melalui ruang udara Iran, Iraq, Syria dan Israel sebaliknya, mereka memilih laluan alternatif sama ada melalui utara menerusi Laut Kaspia atau ke selatan melalui Mesir dan Arab Saudi walaupun ini meningkatkan kos bahan api, masa penerbangan dan bebanan kru.
FlightRadar24 turut menyatakan selepas serangan udara AS terhadap kemudahan nuklear Iran, pergerakan trafik udara kekal seperti mana selepas sekatan ruang udara baharu dikuatkuasakan minggu lalu.
Syarikat penerbangan SIA pada Ahad membatalkan dua penerbangan antara Singapura dan Dubai – SQ494 dan SQ495 selepas menilai tahap keselamatan terkini di rantau Asia Barat.
SIA dalam kenyataan memaklumkan semua penumpang yang terjejas akan dihubungi dan diberikan pilihan penerbangan alternatif atau pemulangan bayaran bagi bahagian tiket yang tidak digunakan.
Katanya, penerbangan SIA dan Scoot sudah menghentikan penggunaan ruang udara Iran sejak 2 Ogos 2024 dan menggunakan laluan alternatif.
“SIA sentiasa menilai laluan penerbangan berdasarkan cuaca, keselamatan, nasihat badan antarabangsa dan serantau,” katanya.









