WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan beliau akan membuat keputusan sama ada untuk menyertai serangan Israel terhadap Iran dalam tempoh dua minggu akan datang, kerana masih terdapat peluang ‘yang besar’ untuk rundingan bagi menamatkan konflik.
Tindakan Trump untuk menekan butang jeda mungkin membuka ruang bagi diplomasi, selepas beberapa hari timbul persoalan hangat sama ada beliau akan mengarahkan tindakan ketenteraan AS terhadap Teheran.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, membacakan kenyataan daripada Trump selepas beliau menyatakan ‘banyak spekulasi’ mengenai sama ada AS akan ‘terlibat secara langsung’ dalam konflik tersebut.
“Terdapat kemungkinan besar untuk rundingan yang mungkin atau mungkin tidak berlaku dengan Iran dalam masa terdekat, saya akan membuat keputusan sama ada untuk terlibat atau tidak dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata Trump dalam kenyataan itu.
Trump sebelum ini menetapkan tempoh dua minggu untuk isu-isu besar lain yang kemudian dilanjutkan, termasuk dalam konflik Rusia-Ukraine, tetapi Leavitt menafikan beliau sedang menangguhkan keputusan.
“Jika ada peluang untuk diplomasi, presiden akan sentiasa mengambilnya, tetapi beliau juga tidak gentar untuk menggunakan kekuatan,” kata Leavitt.
Pada masa yang sama, Leavitt turut menekankan rasa mendesak dengan memberitahu wartawan bahawa Iran boleh menghasilkan senjata nuklear dalam tempoh ‘beberapa minggu’.
Iran sudah mempunyai segala yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear. Apa yang tinggal hanyalah keputusan daripada pemimpin tertinggi mereka untuk melaksanakannya, dan ia hanya akan mengambil masa beberapa minggu untuk menyelesaikan pengeluaran senjata itu,” katanya.
Iran menafikan sedang membangunkan senjata nuklear, dan menyatakan programnya adalah untuk tujuan aman.









