LONDON: Lebih 7,000 pelajar universiti di United Kingdom (UK) dikesan menyalahgunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) seperti ChatGPT sepanjang tahun akademik 2023/2024, menurut satu siasatan eksklusif oleh The Guardian.
Jumlah itu bersamaan dengan 5.1 kes bagi setiap 1,000 pelajar, meningkat ketara berbanding 1.6 kes pada tahun sebelumnya malah, angka awal bagi tahun ini menunjukkan trend itu akan terus meningkat kepada 7.5 kes bagi setiap 1,000 pelajar.
Sementara itu, kes plagiat secara tradisional pula menunjukkan penurunan ketara, iaitu daripada 19 kes bagi setiap 1,000 pelajar pada 2019/2020 kepada hanya 15.2 pada 2023/2024, dan dijangka terus susut kepada 8.5 kes sahaja berdasarkan angka semasa.
Tinjauan yang dijalankan melibatkan 155 universiti melalui Akta Kebebasan Maklumat (FOI) mendapati hanya 131 institusi yang memberi respons, dengan 27 peratus daripadanya masih belum merekodkan salah guna AI secara berasingan, petunjuk jelas sektor pendidikan tinggi masih bergelut memahami isu baharu ini.
Sebelum ledakan teknologi AI generatif, plagiat biasa seperti menyalin karya rakan atau sumber internet merupakan bentuk salah laku akademik paling utama namun, kemunculan teknologi seperti ChatGPT dilihat telah mengubah corak penipuan dalam kalangan mahasiswa.
Menurut Pensyarah Kanan Psikologi Universiti Reading, Dr. Peter Scarfe, kes yang dikesan mungkin hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan kejadian sebenar kerana pengesanan AI sangat berbeza dengan plagiat biasa.
“Dalam kes plagiat, kita boleh buktikan kerana teks yang disalin jelas. Tapi AI berbeza – sukar dibuktikan walaupun anda mengesyaki penggunaannya, kerana tidak ada penanda konkrit,” katanya.
Kajian oleh Universiti Reading tahun lalu mendapati mereka berjaya menyerahkan tugasan yang ditulis sepenuhnya oleh AI tanpa dikesan sebanyak 94 peratus daripada masa.
Katanya, untuk memindahkan kesemua penilaian ke bentuk bersemuka juga adalah sesuatu yang mustahil.
Sementara itu, Amelia, pelajar tahun pertama pengajian muzik, berkata AI banyak membantu pelajar yang mempunyai kesukaran pembelajaran seperti disleksia.
Menurut laporan sama, terdapat puluhan video di TikTok mengiklankan perisian AI yang mampu ‘memanusiakan’ teks dihasilkan oleh ChatGPT, sekali gus melepasi pengesanan sistem universiti. -AGENSI










