MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin yakin satu perjanjian ‘menang-menang’ untuk menamatkan perang antara Israel dan Iran mungkin boleh dilakukan.
Beliau menyifatkan serangan yang dilancarkan Israel terhadap Iran secara tidak langsung membawa kepada ‘penyatuan’ masyarakat negara itu dengan kepemimpinan Iran.
Putin juga enggan menyatakan pandangan atau berbincang mengenai idea Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang merancang mahu membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Kita dapat lihat hari ini, terdapat penyatuan masyarakat di Iran mengenaikepimpinan politik negara itu.
“Ini adalah isu yang sensitif, dan sudah tentu kita perlu berhati-hati, tetapi pada pandangan saya, satu penyelesaian boleh dicapai,” kata Putin kepada media asing.
Putin berkata, perjanjian sedemikian boleh menjamin keselamatan Israel dan pada masa sama ‘merestui’ keinginan Iran membangunkan program nuklear awam.
Israel sebelum ini berkata, serangan udara mengejut mereka bertujuan menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Sehubungan itu, Putin menyatakan lebih baik untuk semua pihak mencari penyelesaian menghentikan peperangan dan mencari jalan supaya pihak terlibat dalam konflik ini mencapai persetujuan.
Putin berkata, terdapat lebih 200 kakitangan Russia di loji kuasa nuklear Bushehr di selatan Iran yang dibina oleh Rosatom iaitu syarikat milik negara ini.
Beliau berkata, Russia boleh ‘terus’ bekerjasama dengan Iran dalam program nuklear awamnya dan memastikan kepentingan mereka dalam bidang berkenaan.
Presiden AS, Donald Trump kelmarin menolak tawaran awal Putin menjadi orang tengah dalam konflik tersebut, dengan menyatakan Presiden Russia itu sepatutnya menyelesaikan konflik di Ukraine terlebih dahulu.
“Saya bercakap dengannya semalam dan dia (Putin) menawarkan diri menjadi orang tengah, saya kata selesaikan konflik kamu sendiri,” kata Trump.
Russia memperkukuh hubungan ketenteraan dengan Iran sejak Moscow menyerang di Ukraine pada tahun 2022, dan pada Januari lalu mereka sudah menandatangani perjanjian kerjasama strategik yang menyeluruh.









