Presiden Uganda mahu bertanding lagi, lanjut pentadbiran hampir 40 tahun - Utusan Malaysia

Presiden Uganda mahu bertanding lagi, lanjut pentadbiran hampir 40 tahun

YOWERI MUSEVENI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPALA: Presiden Uganda, Yoweri Museveni mengesahkan akan bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan sekali gus membuka jalan untuk melanjutkan pemerintahannya yang kini hampir mencecah 40 tahun.

Pemimpin berusia 80 tahun itu membuat pengumuman menyatakan minat untuk menjadi calon presiden bagi parti pemerintah, National Resistance Movement (NRM) pada malam Sabtu.

Museveni mula memegang kuasa pada 1986 selepas menamatkan perang saudara selama lima tahun dan sejak itu kekal berkuasa tanpa henti. Sepanjang tempoh pemerintahannya, perlembagaan Uganda telah diubah sebanyak dua kali oleh parti NRM bagi menghapuskan had tempoh dan umur presiden membolehkan beliau terus bertanding.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia menuduh Museveni menyalahgunakan pasukan keselamatan dan jaringan kuasa kerajaan untuk menindas pembangkang dan mengekalkan cengkamannya terhadap kuasa, namun dinafikan oleh beliau.

Dalam kenyataannya, Museveni berkata beliau mahu dipilih semula untuk merealisasikan matlamat menjadikan ekonomi Uganda bernilai AS$500 bilion (RM2.1 trilion) dalam tempoh lima tahun akan datang walaupun angka rasmi menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu ketika ini hanyalah sekitar AS$66 billion (RM278 billion).

Rakyat Uganda dijadualkan mengundi pada Januari 2026 untuk memilih presiden dan ahli parlimen.

Pemimpin pembangkang Bobi Wine, atau nama sebenarnya Robert Kyagulanyi turut mengesahkan akan bertanding semula.

Wine pernah bertanding dalam pilihan raya 2021 tetapi menolak keputusannya dengan mendakwa berlakunya penipuan besar-besaran, pengubahan undi dan intimidasi oleh pasukan keselamatan.

Ketegangan politik di Uganda semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas parlimen meluluskan undang-undang kontroversi yang membenarkan mahkamah tentera mengadili orang awam meskipun Mahkamah Agung telah mengisytiharkan amalan itu tidak berperlembagaan pada Januari lalu.

Kerajaan mempertahankan undang-undang tersebut dengan alasan menangani ancaman keselamatan negara namun aktivis hak asasi dan tokoh pembangkang menyifatkannya sebagai alat untuk menakut-nakutkan dan menyekat suara kritikal terhadap rejim Museveni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN