NEW DELHI: Sebuah pesawat dalam perjalanan ke London dengan membawa seramai 242 penumpang termasuk dua juruterbang dan 10 kru terhempas di bandar Ahmedabad, di negeri Gujarat.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner dengan nombor penerbangan 171 milik Air India itu terhempas atas bangunan menempatkan hostel kolej perubatan sejurus berlepas, dengan jumlah korban lebih 290 orang melibatkan 241 penumpang dan pelajar perubatan.
Setakat ini, hanya seorang penumpang dari Britain terselamat dalam nahas tersebut.
Insiden itu diumumkan oleh Pengerusi Air India, Natarajan Chandrasekaran.
“Saya mengesahkan pesawat Boeing 787-8 Dreamliner dengan nombor penerbangan 171 yang dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London Gatwick terlibat nahas sejurus berlepas.
“Kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga penumpang yang terjejas akibat nahas itu. Pusat kecemasan sudah diaktifkan dan kumpulan penyokong ditubuhkan untuk membantu keluarga mangsa memperoleh maklumat,” katanya.
Media tempatan melaporkan, nahas berlaku di kawasan Meghaninagar dan beberapa ambulans dikerah ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi menyelamat.
Berdasarkan laman web Flightradar24, pesawat tersebut terputus komunikasi pada ketinggian 190 meter, beberapa saat sejurus berlepas.
Air India mengesahkan penumpang dalam pesawat yang terhempas itu, terdiri daripada 169 warganegara India, 53 warganegara Britain, tujuh warganegara Portugal dan seorang rakyat Kanada.
Bekas Ketua Menteri Gujarat, Vijay Rupani turut tersenarai sebagai penumpang pesawat tersebut walaupun sebelum ini ada sumber memberitahu beliau menaiki penerbangan lain.
Maklumat lanjut berkenaan identiti penumpang dan status semasa masih dalam proses pengesahan oleh pihak berkuasa.
Menteri Pengangkutan India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu berkata, beliau terkejut dengan nahas yang berlaku.
“Saya sendiri akan memantau situasi dan meminta semua pihak terlibat supaya segera mengkoordinasi peranan masing-masing dalam berdepan situasi sukar ini,” katanya.
Ahmedabad merupakan bandar utama di Gujarat, menempatkan lapan juta penduduk dengan sekitar lapangan terbangnya dikelilingi kawasan penempatan.
BBC melaporkan, nahas itu pertama kali melibatkan pesawat Boeing 787 yang mula dilancarkan 14 tahun lalu dan beberapa minggu lepas, kapal terbang itu sudah membawa seramai satu bilion penumpang.










