TEHRAN: Rajim Zionis Israel mengumumkan serangan baharu ke atas ‘sasaran’ di Tehran pada hari Isnin ketika kedua-dua musuh tradisi itu berbalas serangan selama 11 hari berturut-turut, selepas sekutu Israel, Amerika Syarikat menghantar pengebom untuk menyerang tapak nuklear republik Islam itu.
Berikut adalah perkembangan terkini perang Iran-Israel
Tehran kembali diserang
Israel melakukan ‘serangan’ yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap sasaran di Iran dan agensi kerajaan di tengah-tengah Tehran” kata Menteri Pertahanan Israel Katz, ketika seorang wartawan AFP mendengar letupan kuat di utara ibu negara.
Katz kemudiannya berkata sasaran termasuk penjara Evin yang terkenal di utara bandar itu, yang dikenali untuk menahan tahanan politik dan penentang serta tahanan asing.
Badan kehakiman Iran mengesahkan Evin telah diserang dan mengalami “kerosakan” tetapi menegaskan keadaan “terkawal”.
Agensi berita Iran Tasnim berkata, Israel juga melakukan serangan ke atas tapak nuklear Fordo bawah tanah, selatan Tehran, yang sudah terkena bom “bunker buster” AS pada hujung minggu.
Perang Berlanjutan
Angkatan bersenjata Iran mengancam pada hari Isnin untuk mengambilkan tindakan yang serius dan tidak dapat diramalkan” ke atas Amerika Syarikat sebagai tindakan balas terhadap serangannya ke atas tapak nuklear.
Pesawat perang AS menyerang Isfahan, Natanz dan kemudahan di Fordo bagi menyokong kempen pengeboman Israel.
“Tindakan bermusuhan ini… akan meluaskan skop sasaran sah angkatan tentera Republik Islam Iran dan membuka jalan untuk melanjutkan peperangan di rantau itu,” kata jurucakap angkatan tentera Ebrahim Zolfaghari.
Serangan Israel pada Isnin menyasarkan sistem bekalan kuasa di Tehran, mencetuskan gangguan di beberapa kawasan, kata agensi berita Fars.
Di Israel, siren serbuan udara menyebabkan orang ramai berlari ke tempat perlindungan bom pada hari Isnin, dengan tentera melaporkan sekurang-kurangnya tiga serangan peluru berpandu dalam masa kurang dua jam.
Media Israel melaporkan kesan di kawasan pelabuhan selatan Ashdod.
Syarikat tenaga Israel melaporkan gangguan dalam bekalan elektrik “kerosakan akibat berhampiran kemudahan infrastruktur strategik” di selatan Israel, tanpa menamakan lokasi.
Serangan Israel ke atas Iran sejak 13 Jun telah membunuh lebih 400 orang, kata kementerian kesihatan Iran.
Serangan Iran ke atas Israel telah membunuh 24 orang, menurut angka rasmi.
Ali Akbar Velayati, penasihat kepada pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, berkata pangkalan yang digunakan oleh tentera AS “di rantau atau tempat lain” boleh diserang.
Jabatan Negara AS mengeluarkan amaran “berhati-hati di seluruh dunia” untuk rakyat AS pada hari Ahad, dan kedutaannya di Bahrain — yang menempatkan pangkalan utama tentera AS — mengurangkan kakitangan di lokasi ekoran “ketegangan serantau yang semakin meningkat”.
Tempias
China pada Isnin memberi amaran terhadap “tempias perang” tersebut dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk melakukan lebih banyak usaha untuk menghalang pertempuran daripada memberi kesan kepada ekonomi dunia, sambil menyatakan kepentingan global laluan perdagangan maritim Teluk di luar pantai Iran.
Harga minyak buat seketika naik ke paras merah pada hari Isnin selepas melonjak, kerana peniaga menimbang kemungkinan tindakan balas oleh Iran.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio menyeru China untuk membantu menghalang Iran daripada menutup Selat Hormuz, kerana ia bakal memutuskan satu perlima daripada bekalan minyak dunia.
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, berkata menutup selat itu akan “amat berbahaya”.
Pengeluar minyak utama, Rusia dan Iraq menyatakan “kebimbangan” terhadap ketidaktentuan dalam pasaran tenaga dunia, kata Kremlin selepas panggilan telefon antara pemimpin kedua-dua negara.
Trump dakwa ‘kerosakan ketara’
Presiden AS, Donald Trump menulis di media sosial pada hari Ahad bahawa “kerosakan ketara telah dilakukan ke atas semua tapak Nuklear di Iran, seperti yang ditunjukkan oleh imej satelit.
“Pemusnahan adalah istilah yang tepat!” Dia tidak berkongsi imej yang dirujuk.
Pengerusi Ketua Bersama AS, Dan Caine berkata, tujuh pengebom siluman B-2 telah terbang 18 jam untuk menggugurkan 14 bom bunker-buster GBU-57 — senjata berkuasa 13,600 kilogram (30,000 paun).
Jeneral itu berkata adalah terlalu awal untuk menilai kesan ke atas program nuklear Iran, yang ditegaskan Tehran tidak bertujuan membangunkan bom.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB berkata ia tidak mengesan sebarang peningkatan tahap sinaran di tapak nuklear utama di Iran selepas AS menyerang. – AFP