WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila menyatakan mungkin lebih baik jika membiarkan Ukraine dan Russia ‘bergaduh sebentar’ sebelum sebarang usaha damai dimulakan ketika Canselor Jerman, Friedrich Merz menggesa beliau meningkatkan tekanan terhadap Moscow.
Dalam pertemuan di Pejabat Oval, Trump menyuarakan keraguan terhadap keberkesanan rundingan damai dengan berkata kadang-kadang lebih baik biarkan mereka bertempur seketika, kemudian baru leraikan.
Trump turut memaklumkan beliau sudah berbual dengan Presiden Russia, Vladimir Putin melalui telefon pada Rabu dan menggambarkan konflik tersebut sebagai ‘dua kanak-kanak kecil bergaduh di taman permainan’.
Walaupun reaksi Putin terhadap kenyataan itu tidak didedahkan, beliau dijangka menyambut baik sebarang petanda AS mungkin menjauhkan diri daripada konflik dan menghentikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine seperti yang pernah diminta Kremlin sebelum ini.
Dalam pada itu, Merz menggunakan kesempatan untuk menekan Trump supaya memperkukuh tekanan terhadap Russia.
Beliau turut mengingatkan keganasan yang sedang berlaku adalah akibat daripada pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
“Rakyat Jerman terhutang budi kepada AS kerana peranannya menamatkan pemerintahan Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
“AS kini berada dalam kedudukan kukuh untuk membantu menamatkan perang di Ukraine. Marilah kita bincang cara terbaik untuk melakukannya. Kami mahukan lebih banyak tekanan dikenakan ke atas Russia,” kata Merz.
Sementara itu, Kremlin memberi amaran Russia akan bertindak balas terhadap serangan dron terhadap empat pangkalan udara Russia oleh Ukraine baru-baru ini mengikut masa dan cara yang difikirkan sesuai oleh angkatan tenteranya.
Trump turut mengesahkan bahawa Putin telah memberi amaran secara tegas dalam panggilan telefon yang tidak diumumkan sebelum ini bahawa Russia akan membalas serangan tersebut. -AGENSI










