Perancis rancang inisiatif Eropah untuk tamatkan perang Iran-Israel - Utusan Malaysia

Perancis rancang inisiatif Eropah untuk tamatkan perang Iran-Israel

EMMANUEL MACRON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis merancang melancarkan satu inisiatif penyelesaian rundingan yang tegas bersama negara Eropah lain dalam usaha menamatkan konflik antara Iran dan Israel, menurut kenyataan Pejabat Presiden Emmanuel Macron pada Rabu.

Dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Macron telah mengarahkan Menteri Luar Jean-Noël Barrot untuk merangka cadangan tersebut dalam tempoh beberapa hari akan datang dengan kerjasama sekutu Eropah utama.

“Macron mahu satu penyelesaian berasaskan rundingan yang tegas bagi menamatkan konflik ini,” kata kenyataan tersebut tanpa mengulas lanjut mengenai butiran cadangan berkenaan.

Barrot dilaporkan telah berhubung secara konsisten dengan rakan sejawatannya dari Jerman dan Britain sejak Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran pada Jumaat lalu.

Ketiga-tiga negara ini juga pernah memainkan peranan utama dalam perjanjian nuklear penting 2015 antara Iran dan kuasa-kuasa dunia yang menyaksikan Teheran bersetuju untuk mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan antarabangsa.

Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun menarik diri daripada perjanjian itu semasa pentadbiran Presiden Donald Trump.

Macron turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik termasuk serangan Israel ke atas sasaran di Iran yang tidak berkaitan dengan program nuklear atau peluru berpandu balistik negara itu.

“Operasi ketenteraan ini perlu dihentikan segera kerana ia membawa risiko besar kepada keselamatan rantau,” kata kenyataan Istana Élysée.

Beliau juga menggesa Kementerian Luar untuk mengambil langkah bagi membantu warganegara Perancis meninggalkan Israel atau Iran sekiranya mereka berhasrat namun tiada maklumat lanjut diberikan berhubung langkah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×