TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran mendakwa bahawa peluru berpandu Fattah yang digunakan dalam serangan terbaharu terhadap Israel menunjukkan kekuatan sebenar negara itu dan menghantar mesej jelas kepada sekutu rejim pencetus perang tersebut.
Menurut agensi berita Mehr, kenyataan rasmi ke-10 yang dikeluarkan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyatakan bahawa peluru berpandu generasi pertama Fattah digunakan dalam gelombang serangan terkini terhadap rejim Zionis.
Menurut kenyataan itu, operasi peluru berpandu itu dengan jelas menunjukkan ruang udara di wilayah-wilayah yang diduduki kini sepenuhnya berada di bawah kawalan Iran.
Pasukan itu turut mendakwa bahawa tahap sistem pertahanan udara Israel kini juga semakin merosot.
“Kita mula menyaksikan kejatuhan sistem pertahanan udara tentera Israel,” tambah kenyataan tersebut.
Peluru berpandu Fattah yang digambarkan sebagai kuat dan bertaktikal tinggi dikatakan berjaya menembusi perisai peluru berpandu Israel dan menyerang lokasi-lokasi strategik secara berulang.
“Peluru berpandu Fattah yang berkuasa dan bertaktikal tinggi telah menembusi perisai pertahanan musuh malam ini dan menggegarkan tempat persembunyian pengecut Zionis,” kata IRGC.
Kenyataan itu diakhiri dengan penegasan bahawa peluru berpandu tersebut bukan sekadar senjata tetapi mesej kekuatan Iran kepada sekutu Tel Aviv yang menurut mereka bersifat ‘delusional’ dan memainkan peranan dalam mencetuskan konflik serantau









