TEHERAN: Kementerian Kesihatan Iran hari ini mengemas kini angka korban terbaharu akibat serangan berterusan rejim Israel ke atas Iran, dengan jumlah kematian melebihi 400 orang setakat pagi Sabtu.
Jurucakap kementerian, Hossein Kermanpour dalam satu kenyataan menerusi platform X berkata, serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Israel sejak minggu lalu telah meragut nyawa lebih 400 rakyat Iran yang tidak bersenjata, manakala seramai 3,056 orang lagi cedera.
“Sehingga pagi ini, serangan Israel telah mengorbankan lebih 400 rakyat Iran yang tidak berdosa dan mencederakan 3,056 yang lain akibat bedilan misil dan serangan dron,” katanya.
Serangan kejam itu berlaku di tengah-tengah ketegangan memuncak antara dua seteru serantau tersebut, dengan pertempuran dilaporkan terus berlaku di beberapa lokasi strategik sejak minggu lalu.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Amerika Syarikat, Human Rights Activists News Agency (HRANA), mendakwa sekurang-kurangnya 657 individu terbunuh dalam konflik bersenjata yang sedang berlaku di Iran, termasuk 263 orang awam.
Dalam laporan yang dikeluarkan pada Jumaat, HRANA memetik sumber dalaman dan laporan lain yang dipercayai, menyatakan angka korban tersebut mencerminkan peningkatan ketara dalam jumlah kematian sejak tercetusnya serangan Israel ke atas Iran minggu lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 263 mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai orang awam,” menurut laporan berkenaan yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kematian dalam kalangan penduduk tidak bersenjata.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Iran berhubung angka korban yang dinyatakan oleh NGO berkenaan setakat ini.









