TEHERAN: Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, sekali lagi memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) agar tidak campur tangan secara langsung dalam konflik Iran-Israel yang semakin meruncing.
Dalam kenyataan yang dipetik oleh Reuters, Gharibabadi menegaskan Iran tidak berhasrat untuk membesarkan konflik tersebut, namun bersedia bertindak untuk memberi pengajaran kepada pihak yang menceroboh sekiranya perlu.
Kata beliau, barisan anggota pembuat keputusan ketenteraan Iran mempunyai ‘semua pilihan yang diperlukan di atas meja’ sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.
Iran sebelum ini beberapa kali memberi amaran kepada kuasa-kuasa luar agar tidak mencetuskan ketegangan di rantau tersebut, sambil menegaskan komitmen negara itu terhadap kestabilan serantau.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, hari ini memberi amaran bahawa Iran akan menerima balasan susulan serangan peluru berpandu di Hospital Soroka di Be’er Sheva, selatan Israel.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, Netanyahu berkata, pihak Iran telah melancarkan peluru berpandu ke arah Hospital Soroka di Be’er Sheva dan ke kawasan orang awam dan pihaknya akan memastikan mereka di Teheran menerima akibatnya.
Hospital Soroka, yang merupakan pusat perubatan terbesar di selatan Israel menempatkan lebih 1,000 katil mengalami kerosakan besar akibat serangan tersebut.
Serangan ini berlaku ketika ketegangan antara Israel dan Iran semakin memuncak, dengan Israel turut melancarkan serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran di Arak dan Natanz.









