TEHERAN: Iran menegaskan masih belum ada perjanjian gencatan senjata dengan Israel buat masa ini, tetapi pihaknya akan menghentikan serangan sekiranya rejim itu melakukan perkara sama.
“Seperti yang ditegaskan berulang kali, Israel yang memulakan perang terhadap Iran, bukan sebaliknya.
“Sehingga kini, ‘TIADA’ sebarang perjanjian mengenai gencatan senjata atau penghentian operasi ketenteraan,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam satu hantaran di media sosial, tidak lama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan satu perjanjian akan bermula sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan).
Araghchi menambah, jika rejim Israel menghentikan pencerobohan haramnya terhadap rakyat Iran selewat-lewatnya pukul 4 pagi waktu Teheran, pihaknya tidak lagi berhasrat meneruskan tindak balas selepas itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada angkatan bersenjata Iran dan berkata, operasi ketenteraan terhadap Israel akan berlangsung sehingga ke saat terakhir.
“Operasi ketenteraan oleh Angkatan Tentera kita yang berkuasa untuk menghukum Israel atas pencerobohannya diteruskan sehingga saat terakhir, pada jam 4 pagi.
“Bersama seluruh rakyat Iran, saya mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera kita yang berani, yang sentiasa bersedia mempertahankan tanah air tercinta ini hingga titisan darah terakhir dan yang membalas setiap serangan musuh hingga ke saat terakhir,” katanya.









