TEHERAN: Pihak berkuasa Iran menahan sembilan lagi individu di wilayah barat daya Bushehr kerana disyaki mempunyai kaitan dengan agensi perisikan Israel, Mossad.
Kesemuanya juga didakwa terlibat dalam aktiviti provokatif yang bertujuan mencetuskan kekacauan awam, lapor agensi berita Tasnim yang dipetik Anadolu.
Ketua keselamatan wilayah Bushehr, Heydar Sousani mengesahkan penahanan tersebut pada Sabtu dan berkata siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menyokong Israel dengan cuba mengganggu ketenteraman awam serta melemahkan semangat masyarakat.
“Suspek dikesan menjalankan aktiviti sabotaj dalaman yang bertujuan menjejaskan kestabilan sosial negara dengan bimbingan dan sokongan daripada agensi perisikan musuh,” katanya kepada Tasnim.
Penahanan ini berlaku ketika ketegangan ketenteraan yang memuncak antara Iran dan Israel susulan serangan udara Israel terhadap beberapa lokasi strategik di Iran pada 13 Jun lalu termasuk fasiliti ketenteraan dan nuklear yang kemudian mencetuskan serangan balas dari Teheran.
Pihak berkuasa Israel mendakwa sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran sejak itu.
Perang itu dijangka semakin kritikal selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga nuklear Iran semalam, menyaksikan penglibatan langsung Washington dalam konflik yang berlaku.









