TEHERAN: Iran dilaporkan telah memindahkan bahan-bahan penting dari tiga tapak nuklearnya sebelum serangan udara dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS), menurut laporan agensi berita rasmi IRNA pada Ahad.
Timbalan Ketua Bahagian Politik penyiar negara Iran berkata, bahan-bahan tersebut telah dipindahkan terlebih dahulu daripada lokasi strategik sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sebahagian kawasan di tapak nuklear Fordow telah menjadi sasaran serangan udara oleh pihak musuh,” menurut kenyataan pejabat Gabenor Wilayah Qom seperti dilaporkan IRNA.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Gabenor bagi Keselamatan dan Penguatkuasaan Undang-Undang Wilayah Isfahan turut mengesahkan berlaku serangan berhampiran kemudahan nuklear di Isfahan dan Natanz.
Susulan serangan tersebut, tentera Israel mengumumkan status berjaga-jaga yang lebih tinggi termasuk penggantungan sesi persekolahan, larangan perhimpunan awam serta penangguhan kerja-kerja tidak penting.
Presiden AS, Donald Trump dalam kenyataan di platform Truth Social turut mengesahkan penglibatan tenteranya bersama Israel dalam operasi ketenteraan terhadap Iran.
“Kami telah melaksanakan serangan yang sangat berjaya terhadap tiga tapak nuklear Iran termasuk Fordow, Natanz dan Esfahan,” tulis beliau. – AGENSI









