TEL AVIV: Tentera Israel memaklumkan Iran melancarkan kira-kira 100 dron ke arah Israel pada hari Jumaat, susulan gelombang serangan udara oleh rejim Zionis ke atas wilayah republik Islam itu.
Perkara itu disahkan jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Brigedier Jeneral Effie Defrin kepada wartawan.
“Iran telah melancarkan sekitar 100 pesawat tanpa pemandu (UAV) ke arah wilayah Israel dan kami sedang berusaha untuk memintasnya,” katanya.
Beliau turut mendedahkan serangan Israel ke atas Iran melibatkan 200 pesawat pejuang, yang menyerang kira-kira 100 sasaran di seluruh Iran.
“Lebih daripada 100 sasaran telah diserang di seluruh Iran dengan lebih 330 jenis peluru berpandu dan bom pelbagai jenis telah digugurkan setakat ini.
“Serangan Israel merupakan sebahagian daripada operasi yang tepat dan diselaraskan. Juruterbang Israel masih terus menyerang sasaran ketenteraan serta sasaran berkaitan program nuklear Iran di pelbagai kawasan,” katanya.
Menurut sumber keselamatan Israel, serangan tersebut menyasarkan pemimpin tertinggi tentera Iran serta saintis kanan dalam program nuklear negara itu.
Antara lokasi utama yang diserang ialah kemudahan pengayaan uranium terbesar Iran, iaitu fasiliti nuklear Natanz.
Bagaimanapun, menurut Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), tiada peningkatan tahap radiasi yang dikesan setakat ini.-AGENSI