VIENNA: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan pintu masuk ke terowong bawah tanah di kompleks nuklear Isfahan, Iran, terkena serangan udara Amerika Syarikat (AS) dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, IAEA menyatakan terowong terbabit digunakan untuk menyimpan sebahagian daripada stok uranium yang telah diperkaya oleh Iran.
“Kami telah mengenal pasti pintu masuk ke terowong bawah tanah di tapak tersebut telah terjejas,” kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB.
Grossi turut menegaskan Iran berhak mengambil langkah perlindungan terhadap bahan nuklearnya, selagi ia mematuhi kewajipan di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
“Langkah khas oleh Iran untuk melindungi bahan dan peralatan nuklear boleh dilakukan selaras dengan obligasi keselamatan mereka,” katanya.
Sebelum ini, pegawai Iran menyatakan mereka akan mengambil tindakan untuk melindungi bahan nuklear negara tanpa perlu memaklumkan kepada IAEA, mencetuskan kebimbangan terhadap ketelusan dan keselamatan bahan radioaktif terbabit.
Serangan terhadap Isfahan adalah sebahagian daripada operasi ketenteraan AS yang menyasarkan tiga tapak nuklear utama Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan – dalam usaha yang – dikatakan bertujuan melemahkan keupayaan nuklear Teheran.









