NEW DELHI: Banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan monsun selama dua hari lalu, meragut sekurang-kurangnya 30 nyawa di timur laut India.
Pegawai pengurusan bencana negeri memaklumkan, lapan orang maut di Assam dan sembilan lagi di Arunachal Pradesh, kebanyakan akibat tanah runtuh.
Lima lagi maut dalam kejadian tanah runtuh di negeri jiran, Mizoram, menurut pihak berkuasa negeri.
Pegawai turut memaklumkan, enam orang terkorban di Meghalaya serta sekurang-kurangnya dua lagi maut di negeri Nagaland dan Tripura.
Amaran merah dikeluarkan untuk beberapa daerah di rantau itu selepas hujan lebat berterusan selama tiga hari lepas.
Tentera India memaklumkan menyelamat ratusan mangsa banjir dalam operasi besar-besaran di seluruh negeri Manipur.
“Orang ramai dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat. Makanan, air dan ubat-ubatan penting juga disediakan,” kata tentera pada Sabtu.
Ketua Menteri Meghalaya, Conrad K Sangma, mengarahkan pegawai untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga, terutama di kawasan rendah dan terdedah tanah runtuh.
Setiap tahun, ramai mangsa terkorban semasa musim hujan akibat banjir kilat dan tanah runtuh di seluruh India, negara dengan populasi 1.4 bilion oerang.
Musim monsun tahunan India dari Jun hingga September memberikan kelegaan daripada cuaca panas melampau yang melanda negara itu.
Asia Selatan kini berdepan peningkatan suhu dan perubahan cuaca yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun kesan sebenar pemanasan global terhadap corak musim monsun masih menjadi persoalan dalam kalangan saintis.
Bulan lalu, ibu kota kewangan India, Mumbai, dilanda hujan monsun yang bermula dua minggu lebih awal, dalam tempoh hampir suku abad, daripada kebiasaan, menurut peramal cuaca.- AFP










