TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan republik Islam itu tidak akan menghentikan program pengayaan uranium, sekali gus menolak tuntutan utama dalam cadangan Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan pertikaian lama berkaitan program nuklear Iran.
Kenyataan keras itu dibuat dalam ucapan beliau semalam sempena memperingati pemergian pengasas Republik Islam Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini pada tahun 1989, ketika rundingan antara Washington dan Tehran masih berlangsung untuk merangka kemungkinan perjanjian nuklear baharu.
Isu pengayaan uranium kekal menjadi titik perbalahan utama dalam rundingan tersebut, dengan AS dilaporkan mahu Iran menghentikan sepenuhnya atau mengehadkan pengayaan kepada tahap rendah sebagai syarat untuk menarik balik sekatan Barat ke atas Tehran.
“Cadangan nuklear AS bercanggah dengan kepercayaan negara kita terhadap prinsip berdikari dan semangat ‘Kami Mampu’,” kata Khamenei dalam ucapannya.
Beliau menegaskan pengayaan uranium adalah teras kepada usaha Iran mengejar kemerdekaan tenaga, sambil menyelar tekanan AS sebagai bercanggah dengan idealisme Revolusi Islam 1979.
“Kemerdekaan bererti tidak menunggu lampu hijau daripada Amerika atau sesiapa seumpamanya,” ujar beliau, sambil menambah Iran tidak memerlukan restu Washington untuk membuat keputusan negara sendiri.
Pada Isnin lalu, agensi berita Reuters melaporkan Tehran dijangka menolak cadangan baharu AS, dengan memetik seorang diplomat tanpa nama yang menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak boleh diterima kerana tidak melonggarkan syarat Washington berhubung isu pengayaan uranium dan tidak mengutamakan kepentingan Iran.
Teheran bertegas program nuklearnya adalah untuk tujuan damai dan menolak tuduhan kuasa Barat ia sedang berusaha membangunkan senjata nuklear.
Sebuah laporan Pertubuhan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang bocor baru-baru ini mendapati Iran telah meningkatkan pengeluaran uranium yang hampir mencapai tahap senjata sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir.
Walaupun jumlah tersebut masih di bawah paras 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata atom, ia jauh melebihi tahap 4 peratus yang biasanya digunakan bagi penjanaan tenaga elektrik.
Iran bagaimanapun menolak laporan IAEA tersebut, menyifatkannya sebagai bermotifkan politik dan mengulangi tuduhan tidak berasas. -AGENSI










