STOCKHOLM: Dunia di ambang perlumbaan senjata nuklear era baharu apabila negara-negara kuasa besar giat mempertingkat dan memodenkan senjata masing-masing, dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi menjadi pencetus bencana terbesar dalam sejarah kemanusiaan.
Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), sebuah badan bebas pemantau isu keselamatan global, dalam laporan terbaharunya memberi amaran keras penurunan jumlah senjata nuklear dunia yang berterusan sejak beberapa dekad lalu kini sudah terhenti malah berbalik arah.
Menurut SIPRI, teknologi baharu seperti AI kini mengancam untuk ‘mengambil alih’ keputusan paling kritikal dalam konflik ketenteraan bagi melancarkan serangan nuklear.
Pengarah SIPRI, Dan Smith, berkata perlumbaan senjata baharu muncul dalam saat geopolitik dunia berada pada tahap paling tidak stabil.
“Kita melihat tanda-tanda jelas perlumbaan senjata nuklear yang baharu. Jika keputusan melancarkan senjata nuklear diserahkan sepenuhnya kepada AI, dunia akan menghampiri senario kiamat sebenar,” katanya.
Smith turut memberi amaran sistem AI, walaupun mampu memproses maklumat secara pantas, turut meningkatkan risiko konflik nuklear akibat salah faham, gangguan teknikal dan komunikasi yang gagal.
“Sejarah membuktikan beberapa kali perang nuklear hampir tercetus hanya kerana kesilapan sistem amaran awal,” katanya.
Satu daripada insiden paling hampir berlaku pada tahun 1983 apabila sistem pengesanan Kesatuan Soviet secara salah melaporkan lima peluru berpandu Amerika Syarikat sedang menuju ke negara itu namun, tindakan berani seorang pegawai tentera Soviet, Leftenan Kolonel Stanislav Petrov yang meragui kesahihan amaran tersebut, berjaya mengelakkan bencana global.
“Bayangkan jika AI yang membuat keputusan itu. AI tidak mempunyai keraguan seperti Petrov, dan keputusan boleh berlaku dalam beberapa saat tanpa campur tangan manusia,” ujar Smith.
Laporan SIPRI diterbitkan selepas Israel menyerang kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran minggu lalu, insiden yang menimbulkan kebimbangan perang dunia ketiga mungkin tercetus. – AGENSI









