160 juta penduduk terjejas, gelombang haba melampau landa AS - Utusan Malaysia

160 juta penduduk terjejas, gelombang haba melampau landa AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) dilanda gelombang haba melampau pertama tahun ini dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius di kawasan metropolitan New York sekali gus memberi kesan kepada hampir 160 juta penduduk di timur negara itu.

Fenomena cuaca panas yang boleh mengancam nyawa ini bermula hujung minggu lalu dan dijangka mencapai kemuncaknya pada Isnin dan Selasa di bandar-bandar utama seperti Washington, Baltimore, Philadelphia dan New York City.

“Gelombang haba ini bukan sahaja tidak selesa tetapi boleh membawa maut kepada warga New York,” kata Datuk Bandar Eric Adams, sambil mengingatkan bahawa purata 500 kematian akibat panas direkodkan setiap tahun di kota berpenduduk lapan juta itu.

“Ini akan menjadi cuaca yang kejam dan berbahaya sekiranya anda tidak mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang kami nasihatkan,” katanya.

Pihak berkuasa menasihatkan golongan warga emas, individu yang mempunyai masalah kesihatan dan mereka yang tidak memiliki pendingin hawa supaya kekal terhidrat dan mendapatkan bantuan di pusat penyejukan khas seperti perpustakaan dan kemudahan rekreasi awam.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), rekod suhu tertinggi telah dipecahkan di beberapa lokasi di timur laut AS termasuk di Central Park, New York yang mencatatkan suhu 35.5 darjah Celsius), mengatasi rekod lama yang dicatat pada tahun 1888.

“Amaran Haba Melampau dan Nasihat Haba kini berkuat kuasa di hampir sepertiga timur negara ini melibatkan sekurang-kurangnya 29 negeri,” menurut kenyataan NWS.

“Risiko haba pada tahap ini sangat jarang berlaku atau berpanjangan, dengan sedikit atau tiada kelegaan pada waktu malam dan boleh membahayakan sesiapa sahaja tanpa penyejukan berkesan atau penghidratan mencukupi,” jelas agensi itu lagi.

Pakar kaji cuaca mengenal pasti corak cuaca ini sebagai kubah haba iaitu satu sistem tekanan tinggi yang memerangkap udara panas dan menyebabkan suhu terus meningkat secara mendadak.

Di kawasan Washington Heights, pihak berkuasa membuka pili bomba bagi membolehkan penduduk menyejukkan diri dengan air yang memancut keluar.

Di ibu negara Washington, indeks haba iaitu suhu sebenar yang dirasai selepas mengambil kira kelembapan dijangka 43 darjah Celsius mendorong pejabat Datuk Bandar menggesa penduduk untuk menggunakan pusat penyejukan yang disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×