WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menolak permohonan visa pegawai asing yang menyekat kandungan media sosial rakyat AS, umum Setiausaha Negara Marco Rubio dalam tindakan terbaharunya terhadap penapisan dalam talian.
Rubio yang sebelum ini turut dikritik kerana menarik balik visa aktivis yang mengkritik Israel berkata, beliau bertindak terhadap langkah penapisan terang-terangan terhadap syarikat teknologi AS oleh pihak asing.
Beliau tidak menamakan mana-mana pegawai yang akan dikenakan tindakan di bawah dasar baharu ini namun minggu lalu, beliau memberi bayangan kepada ahli Kongres tindakan akan diambil terhadap hakim Mahkamah Agung Brazil, Alexandre de Moraes yang terlibat dalam pertelingkahan dengan pemilik X, Elon Musk berhubung penyingkiran kandungan yang dikatakan sebagai maklumat palsu.
Pentadbiran Presiden Donald Trump yang juga terkenal sebagai pengguna media sosial yang lantang dan kontroversial turut mengkritik sekutunya seperti Jerman dan Britain kerana memperkenalkan sekatan terhadap kandungan yang diklasifikasikan sebagai ucapan kebencian oleh kerajaan masing-masing.
Rubio menyatakan AS akan mula menyekat visa individu luar yang bertanggungjawab terhadap penapisan terhadap ekspresi yang dilindungi di AS.
“Adalah tidak boleh diterima untuk mana-mana pegawai asing mengeluarkan atau mengugut untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap warga atau penduduk AS kerana hantaran dalam media sosial AS sedangkan mereka berada di tanah air sendiri.
“Begitu juga tidak boleh diterima untuk pegawai luar mendesak platform teknologi AS supaya melaksanakan dasar penyederhanaan kandungan secara global atau terlibat dalam penapisan yang melangkaui bidang kuasa mereka sehingga ke dalam sempadan AS.
“Kami tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pencerobohan terhadap kedaulatan AS terutama sekali apabila ia menjejaskan hak asasi kami untuk bersuara secara bebas,” kata Rubio dalam satu kenyataan.
Rubio turut mendakwa beliau membatalkan visa ribuan individu terutamanya pelajar yang menyuarakan bantahan terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza.










