Ular ganggu talian kuasa, perkhidmatan Shinkansen tergendala - Utusan Malaysia

Ular ganggu talian kuasa, perkhidmatan Shinkansen tergendala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Perkhidmatan tren berkelajuan tinggi paling sibuk di Jepun, Shinkansen, tergendala semalam apabila seekor ular sepanjang satu meter melilit kabel elektrik dan menyebabkan gangguan kuasa, sekali gus menjejaskan ribuan penumpang yang dalam perjalanan sempena cuti umum Golden Week.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul  5.25 petang waktu tempatan itu menyebabkan perkhidmatan tren antara Tokyo dan Osaka dihentikan serta-merta selepas reptilia tersebut memanjat tiang elektrik dan terkena kabel atas kepala berhampiran antara Stesen Maibara dan Gifu-Hashima. Kuasa hanya dapat dipulihkan sepenuhnya selepas jam 7 malam.

Rakaman media tempatan memaparkan penumpang terperangkap di dalam gerabak tren sementara menunggu perkhidmatan disambung semula namun, difahamkan sistem pencahayaan dan pendingin hawa di dalam tren masih berfungsi.

Gangguan tersebut berlaku pada hari pertama musim cuti Golden Week tempoh puncak pelancongan domestik di Jepun apabila jutaan rakyat bergerak ke kampung halaman serta destinasi percutian dan tahun ini lebih sesak daripada biasa berikutan penganjuran Ekspo Osaka 2025 yang berlangsung sejak pertengahan April hingga Oktober.

“Saya menggunakan Shinkansen beberapa kali setiap bulan, namun ini kali pertama saya alami gangguan disebabkan masalah bekalan elektrik,” kata Satoshi Tagawa, 46, kepada agensi berita Kyodo ketika dalam perjalanan pulang ke Tokyo.

Talian Tokaido Shinkansen yang menghubungkan Tokyo, Nagoya dan Osaka beroperasi dengan lebih 370 perkhidmatan harian serta membawa purata 430,000 penumpang sehari dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 285 kilometer sejam dan mengambil masa kurang dua setengah jam dari Tokyo ke Osaka.

Sejak mula beroperasi menjelang Sukan Olimpik Tokyo 1964, lebih tujuh bilion penumpang telah menaiki Tokaido Shinkansen. Ia juga memiliki rekod keselamatan yang cemerlang tanpa sebarang kemalangan atau kecederaan direkodkan, dan perkhidmatannya terkenal kerana menepati masa dengan purata kelewatan hanya 1.6 minit, menurut pengendali Central Japan Railway Co. (JR Tokai).

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama haiwan reptilia mengganggu operasi tren laju tersebut kerana sebelum ini pada April tahun lalu, seekor ular sepanjang 40 sentimeter ditemui dalam sebuah gerabak tren dari Nagoya ke Tokyo, menyebabkan kekecohan dalam kalangan penumpang.

Ular itu gagal dikesan dan gerabak terpaksa diganti, mengakibatkan kelewatan selama 17 minit.

Insiden terbaharu ini sekali lagi membuktikan meskipun Jepun terkenal dengan sistem pengangkutan awamnya yang canggih dan efisien, faktor luar jangka seperti alam sekitar tetap berpotensi mencetuskan gangguan kepada perkhidmatan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya