UAE, AS bakal bina kampus AI terbesar di luar AS

UAE, AS bakal bina kampus AI terbesar di luar AS

DONALD Trump berjabat tangan dengan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed al-Nahyan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani satu perjanjian penting yang membolehkan negara Teluk itu membina kampus kecerdasan buatan (AI) terbesar di dunia di luar AS.

Meskipun kedua-dua negara tidak mendedahkan cip AI keluaran Nvidia atau syarikat lain yang bakal digunakan di pusat data UAE, sumber memaklumkan bahawa perjanjian ini bakal membuka laluan kepada UAE untuk mendapatkan akses yang lebih meluas kepada cip AI berprestasi tinggi.

UAE sebelum ini berdepan sekatan disebabkan kebimbangan Washington terhadap kemungkinan akses teknologi oleh China.

Perjanjian yang dimeterai semasa lawatan Trump ke Abu Dhabi itu dianggap sebagai kejayaan besar buat UAE yang sekian lama berusaha menyeimbangkan hubungan dengan sekutu tradisionalnya, AS, serta rakan dagangan utamanya, China.

Ia turut mencerminkan keyakinan pentadbiran Trump bahawa teknologi cip AI boleh dikawal selia dengan selamat, antaranya melalui syarat pusat data dikendalikan oleh syarikat AS.

UAE, sebuah negara pengeluar minyak utama melaburkan berbilion dolar dalam usahanya untuk menjadi kuasa AI global. Namun, hubungan rapatnya dengan China sebelum ini menyekat akses kepada cip AS semasa pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.

Menurut kenyataan Rumah Putih, perjanjian AI itu juga merangkumi komitmen UAE untuk melabur, membina atau membiayai pusat data di AS yang sekurang-kurangnya setanding dari segi saiz dan kuasa dengan yang dibangunkan di UAE.

Reuters sebelum ini melaporkan kedua-dua negara memuktamadkan satu rangka kerja teknologi yang menuntut komitmen bersama terhadap keselamatan teknologi tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN