WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memecat penasihat keselamatan negaranya, Mike Waltz, pada Khamis dan melantik Setiausaha Negara, Marco Rubio, sebagai pengganti sementara dalam rombakan besar pertama pentadbirannya sejak memegang jawatan pada Januari.
Trump dalam satu kenyataan di media sosial berkata beliau akan mencalonkan Waltz sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil memuji Waltz kerana bekerja keras demi kepentingan negara.
Beberapa sumber sebelum itu memaklumkan bahawa Waltz yang juga bekas tentera khas (Green Beret) dan bekas ahli Kongres Republikan dari Florida telah menerima tekanan dalam pentadbiran, terutamanya susulan skandal pada Mac yang membabitkan perbualan rahsia menerusi aplikasi Signal dalam kalangan pegawai kanan keselamatan negara Trump.
Pelantikan Rubio menjadikannya individu pertama sejak era Henry Kissinger pada 1970-an yang memegang dua jawatan serentak sebagai Setiausaha Negara dan Penasihat Keselamatan Negara.
“Bila saya ada masalah, saya hubungi Rubio. Dia tahu cara selesaikannya,” kata Trump dalam satu majlis di White House, pada Khamis.
Seorang sumber yang rapat dengan pentadbiran memaklumkan bahawa Trump memang merancang untuk menunggu hingga genap 100 hari pentadbirannya sebelum membuat pemecatan pada peringkat kabinet. Rombakan mengejut itu berlaku begitu pantas sehingga jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, hanya mengetahui berita tersebut melalui wartawan semasa sidang media.
Jawatan penasihat keselamatan negara merupakan peranan berkuasa yang tidak memerlukan pengesahan Senat. Dalam penggal pertamanya, Trump telah melantik empat penasihat keselamatan negara iaitu Michael Flynn, HR McMaster, John Bolton dan Robert O’Brien.
Timbalan Waltz, Alex Wong, pakar Asia yang pernah bertugas di Jabatan Negara dan memberi tumpuan kepada isu Korea Utara turut dipecat, menurut dua sumber kepada agensi Reuters.
Pemecatan Waltz menandakan kemuncak kepada kekacauan dalaman dalam barisan keselamatan negara Trump sejak awal April. Sekurang-kurangnya 20 pegawai Majlis Keselamatan Negara (NSC) telah dipecat, Pengarah Agensi Keselamatan Negara digugurkan, dan tiga pegawai kanan Pentagon turut disingkirkan.
Situasi itu dikatakan telah menjejaskan semangat kerja dalam kalangan kakitangan keselamatan negara, menurut beberapa pegawai kerajaan dan pihak yang dekat dengan pentadbiran. Sesetengah jabatan kini kekurangan kepakaran dalam isu keselamatan dan menghadapi kesukaran untuk menarik bakat profesional berkualiti tinggi.
NSC berperanan penting dalam menyelaras strategi keselamatan negara, dan stafnya sering terlibat dalam membuat keputusan utama berkaitan pendekatan Amerika terhadap konflik global.