WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad mengarahkan pihak berkuasa berkaitan membuka semula Penjara Alcatraz, yang sebelum ini berfungsi sebagai muzium dan tarikan pelancongan sejak lebih 60 tahun, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
“Hari ini, saya mengarahkan Biro Penjara, bersama Jabatan Kehakiman, FBI dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk membuka semula Alcatraz dengan kapasiti lebih besar dan dinaik taraf bagi menempatkan penjenayah paling ganas dan kejam di AS,” katanya dalam satu hantaran di platform Truth Social.
Trump berkata pembukaan semula Alcatraz akan menjadi simbol kepada ‘undang-undang, ketenteraman dan keadilan’.
“Dahulu AS tidak teragak-agak untuk mengasingkan penjenayah berbahaya daripada masyarakat.
“Kita tidak akan lagi bertolak ansur dengan penjenayah bersiri yang menyebarkan tingkah laku yang jijik, keganasan dan kekacauan di kejiranan kita,” katanya.
Alcatraz, yang dikenali sebagai “The Rock”, merupakan penjara keselamatan maksimum yang terletak di sebuah pulau terpencil di Teluk San Francisco.
Selama 29 tahun, pulau itu berfungsi sebagai lokasi tahanan bagi penjenayah paling berbahaya dan sukar dikawal, termasuk mereka yang pakar dalam melarikan diri.
Banduan terakhir yang ditahan di sana dibebaskan pada 1963.
Alcatraz dianggap mustahil untuk banduan melarikan diri dan pernah menempatkan penjenayah terkenal seperti Al Capone, George “Machine Gun” Kelly Barnes, Alvin “Creepy Karpis” Karpavicz dan Robert Stroud.
Penjara itu telah menempatkan sejumlah 1,576 banduan sejak ia mula dibuka pada 1934.
Kini, Pulau Alcatraz berstatus muzium, mercu tanda bersejarah kebangsaan dan kawasan perlindungan bagi pembiakan burung. Ia menerima kira-kira 1.2 juta pelawat setiap tahun.