ABU DHABI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengakui penduduk Gaza mengalami kebuluran dan memberi komitmen AS akan menangani situasi di wilayah itu ketika serangan udara berterusan Israel meragut lebih 100 nyawa.
“Kami memerhatikan situasi di Gaza dan kami akan tangani perkara itu. Ramai orang kebuluran,” beritahu Trump kepada wartawan di Abu Dhabi pada hari terakhir lawatan beliau ke rantau Teluk.
Kenyataan Trump ini dijangka mencetuskan ketegangan lanjut antara Washington dan Tel Aviv memandangkan pegawai Israel secara konsisten menafikan sekatan ketat yang dikenakan ke atas wilayah itu sejak lebih 10 minggu lalu menyebabkan kebuluran.
Terdahulu, lawatan Trump ke Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu diharap membuka jalan kepada penangguhan serangan baharu atau pemulihan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sebaliknya, serangan dan pengeboman yang berterusan dalam tempoh 72 jam lalu meningkatkan tahap keganasan ke paras tertinggi sejak beberapa minggu lalu dengan angka korban hampir menyamai hari awal serangan balas Israel selepas gencatan senjata terbatal pada Mac.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza, serangan pada hari Jumaat sahaja meragut 108 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Beberapa pegawai di wilayah Palestin pula menganggarkan jumlah korban akibat serangan Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini mencecah antara 250 hingga 300 orang.
Sekurang-kurangnya 48 mayat telah dibawa ke Hospital Indonesia di utara Gaza, manakala 16 lagi dibawa ke Hospital Nasser selepas serangan ke atas pinggir bandar Deir al-Balah di tengah Gaza dan bandar Khan Younis di selatan, menurut pegawai kesihatan.
Di Jabalia, sebuah kawasan di utara Gaza yang telah lama dibedil, wanita-wanita menangis di sisi 10 jenazah yang dibalut dengan kain putih dan diletakkan di atas tanah di tengah runtuhan bangunan.
“Kami sedang tidur apabila tiba-tiba segalanya meletup di sekeliling kami dan semua orang mula melarikan diri. Darah di merata tempat, anggota badan berselerakan dan mayat bergelimpangan,” katanya. -AGENSI