Tiga lelaki ditahan cuba seludup 95 kilogram umang-umang di Jepun - Utusan Malaysia

Tiga lelaki ditahan cuba seludup 95 kilogram umang-umang di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun menahan tiga lelaki yang disyaki cuba menyeludup keluar ribuan umang-umang dari negara itu secara haram, dalam satu kejadian di Pulau Amami, selatan Jepun.

Ketiga-tiga suspek yang berusia 24, 26 dan 27 tahun itu, dan menurut laporan media tempatan dipercayai merupakan warga China, ditahan selepas kakitangan sebuah hotel berasa curiga terhadap beg yang ditinggalkan mereka.

Menurut polis, pekerja hotel berkenaan terdengar bunyi ‘berdesir’ yang mencurigakan dari dalam bagasi yang ditinggalkan untuk disimpan oleh suspek, sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan, polis menemui ribuan umang-umang hidup di dalam bagasi mereka yang dianggarkan seberat 95 kilogram, manakala seorang lagi suspek membawa tambahan 65 kilogram ketam di dalam tiga beg lain.

“Kami sedang menyiasat sama ada ketam-ketam ini dibawa untuk dijual, dijadikan haiwan peliharaan atau untuk dimakan. Semua kemungkinan sedang diteliti,” kata jurucakap polis.

Pihak berkuasa turut menegaskan umang-umang di Pulau Amami adalah spesies yang dilindungi dan dianggap sebagai ‘khazanah negara’ kerana menjadi sebahagian daripada kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna pulau berkenaan.

Umang-umang yang dikenali kerana kebiasaan mereka mencari cangkerang terpakai untuk dijadikan tempat perlindungan sering dilihat di sepanjang pantai pulau tersebut yang merupakan destinasi pelancongan popular di Jepun.

Menurut Japan Times, seekor umang-umang boleh mencecah harga sehingga 20,000 yen (RM617) di pasaran gelap. —AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN