Tiga kanak-kanak 'tidak lihat cahaya matahari' selama empat tahun akibat dikurung ibu bapa - Utusan Malaysia

Tiga kanak-kanak ‘tidak lihat cahaya matahari’ selama empat tahun akibat dikurung ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OVIEDO: Tiga kanak-kanak lelaki yang dikurung oleh ibu bapa mereka dalam sebuah rumah kotor dan gelap di utara Sepanyol diselamatkan polis selepas hampir empat tahun tidak melihat cahaya matahari.

Dalam satu operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan di bandar Oviedo, polis menemui tiga kanak-kanak, sepasang kembar berusia lapan tahun dan seorang abang mereka berumur sepuluh tahun yang dipercayai telah dikurung sejak Disember 2021 atas alasan ibu bapa mereka takut dengan jangkitan Covid-19.

Kedua-dua ibu bapa mangsa dikenal pasti sebagai Christian Steffen, 53, warga Jerman dan isterinya Melissa Ann Steffen, 48, yang berasal dari Amerika Syarikat (AS).

Mereka kini ditahan reman dan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika didapati bersalah bagi pertuduhan penderaan dan pengabaian.

Menurut laporan agensi berita Jerman Bild dan El Mundo, suasana menyayat hati menyelubungi ketika kanak-kanak tersebut dibawa keluar dari rumah dimana mereka didapati hiper-ventilasi, menyentuh rumput buat kali pertama dalam hampir empat tahun, dan kelihatan terkejut melihat dunia luar.

Polis menggambarkan keadaan rumah tersebut sebagai ‘rumah seram’ yang penuh dengan najis haiwan peliharaan, longgokan lampin pakai buang, ubat-ubatan yang sudah luput serta persekitaran yang menjijikkan.

Menurut El Español, ketika diselamatkan, ketiga-tiga kanak-kanak tersebut masih memakai lampin, tidur dalam katil berpagar serta mengalami sembelit teruk kerana tidak dibenarkan ke tandas sewenang-wenangnya, dan selebihnya dipaksa memakai lampin sepanjang masa.

Lebih mengejutkan, laporan perubatan menunjukkan ibu bapa mereka memberi ubat mengandungi THC, bahan psikoaktif utama dalam ganja sebagai kononnya rawatan ADHD, meskipun tiada bukti mereka benar-benar menghidap penyakit itu.

Sumber penyiasatan mendedahkan keluarga tersebut dipercayai mengalami ‘sindrom Covid’ iaitu ketakutan melampau terhadap virus sehingga sanggup mengurung anak-anak mereka malah, tingkap dan pintu rumah sentiasa dikunci dan kanak-kanak itu tidak dibenarkan keluar walaupun ke halaman rumah.

Kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan kerajaan wilayah Principality of Asturias selepas menerima rawatan awal di Hospital Universiti Pusat Asturias.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya