GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan maut berterusan oleh tentera Myanmar walaupun gencatan senjata diisytiharkan selepas gempa bumi dahsyat yang meragut hampir 3,800 nyawa.
“Keganasan yang tidak berkesudahan terhadap orang awam, meskipun gencatan senjata diumumkan susulan gempa bumi dahsyat pada 28 Mac menunjukkan betapa pentingnya semua pihak komited dan menghentikan permusuhan secara menyeluruh, kekal serta mengembalikan pemerintahan awam,” kata Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sejak rampasan kuasa tentera yang diketuai Jeneral Min Aung Hlaing pada 2021, Myanmar terus bergolak dengan konflik pelbagai pihak selepas kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan.
Selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda negara itu, junta dan kumpulan penentang bersetuju melaksanakan gencatan senjata sementara pada 2 April bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.
Namun menurut Turk, sejak bencana itu dan sehingga 29 April, tentera Myanmar dilaporkan melancarkan sekurang-kurangnya 243 serangan, termasuk 171 serangan udara, yang mengorbankan lebih 200 orang awam.
“Kebanyakan serangan ini berlaku selepas gencatan senjata mula dikuatkuasakan,” katanya, sambil menambah gencatan senjata yang sedia ada hanya diamalkan secara longgar sebelum tamat pada 30 April.
Turk menegaskan tentera perlu segera menghentikan semua serangan terhadap orang awam dan kemudahan awam.
Menurutnya, hampir 20 juta penduduk negara itu bergantung kepada bantuan kemanusiaan dan amat memerlukan makanan, air serta tempat perlindungan.
Turk turut menggesa pihak tentera supaya mengutamakan rakyat, menegakkan hak asasi manusia serta keperluan kemanusiaan mereka dan mencari penyelesaian damai terhadap krisis yang berlarutan.