TEL AVIV: Israel mengeluarkan arahan untuk memanggil puluhan ribu tentera simpanan menjelang perluasan operasi serangan terhadap Gaza.
Beberapa saluran berita Israel melaporkan, tentera mula menghantar arahan kepada askar simpanan bagi menggantikan anggota kerahan dan aktif di Israel serta Tebing Barat, supaya boleh dikerahkan semula ke Gaza.
Menurut penyiar awam Israel, kabinet keselamatan dijadualkan bermesyuarat untuk meluluskan peluasan serangan ketenteraan di Gaza.
Israel menyambung semula operasi besar-besaran di seluruh Gaza sejak 18 Mac lalu, di tengah kebuntuan mengenai hala tuju gencatan senjata selama dua bulan yang sebahagian besarnya menghentikan peperangan pada Oktober 2023.
Qatar menjadi pengantara bersama Amerika Syarikat (AS) dan Mesir dalam perjanjian gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada Januari.
Namun, usaha untuk mencapai perjanjian baharu dilihat semakin terhenti sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh Qatar ‘talam dua muka’ dengan kenyataan yang mengelirukan.
Dalam hantaran di platform X, beliau memberi kata dua kepada Qatar untuk memilih sama ada berpihak kepadanya atau menyebelahi pejuang Hamas.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari dalam kenyataan di X, menolak tuduhan yang dianggap bersifat hasutan dan menyimpang daripada taraf paling asas dalam tanggungjawab politik dan moral.
KORBAN TERUS MENINGKAT
Kelmarin, Hamas menyiarkan rakaman tebusan Israel-Russia yang kelihatan cedera dan ditahan di Gaza, sementara 11 rakyat Palestin termasuk tiga bayi terbunuh dalam satu serangan.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, sekurang-kurangnya 2,396 orang terbunuh sejak Israel menyambung semula kempennya, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 52,495 orang.
Pejuang Gaza masih menahan 58 tebusan, dengan 34 daripadanya disahkan mati oleh tentera Israel.
Sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam, menyiarkan satu video yang memaparkan seorang tebusan dikenal pasti sebagai warga Israel-Russia, Maxim Herkin.
Dalam video berdurasi empat minit tanpa tarikh itu menunjukkan Herkin berbalut di kepala dan lengan kirinya.
Menerusi rakaman tersebut, Herkin memaklumkan dalam bahasa Ibrani bahawa dirinya cedera akibat serangan udara Israel, baru-baru ini.
PROTES ANTIKERAJAAN
Protes antikerajaan di Israel terus berlangsung dengan ribuan lagi berhimpun di luar Kementerian Pertahanan di Tel Aviv, menuntut tindakan segera pembebasan tebusan.
Kerajaan Israel mendakwa serangan semula di Gaza bertujuan memaksa Hamas membebaskan baki tebusan yang masih ditahan.
Namun, pengkritik berpendapat langkah itu membahayakan nyawa para tebusan.
Kenyataan daripada Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang menegaskan, sebarang peningkatan dalam pertempuran hanya akan meletakkan tebusan dalam bahaya.
Di Gaza, agensi pertahanan awam melaporkan serangan udara Israel pada waktu malam terhadap kem pelarian Khan Younis, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 nyawa termasuk tiga bayi.
Jurucakap agensi, Mahmud Bassal berkata, mangsa terbunuh dalam pengeboman ke atas rumah keluarga Al-Bayram di kem Khan Younis sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan).
Jurucakap tentera Israel mengesahkan serangan itu, mendakwa menyasarkan seorang anggota Hamas.
Wartawan AFP melaporkan, pasukan penyelamat dan penduduk setempat menggeledah kawasan runtuhan tanpa peralatan keselamatan dengan bantuan lampu suluh untuk mencari mangsa terselamat.










