ZHENGZHOU: Sebuah syarikat pemborong makanan ringan di China mencetuskan kontroversi dalam talian selepas menyiarkan secara langsung aksi kakitangannya yang sedang bekerja di pejabat pada hujung minggu.
Langkah itu dikatakan bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap syarikat tersebut.
Syarikat Miaohuo Net yang berpangkalan di Zhengzhou, membuka beberapa akaun di sebuah platform video popular untuk menayangkan suasana kerja dan aktiviti kakitangannya sepanjang mereka berada di pejabat.
Dalam satu siaran langsung baru-baru ini, kira-kira 15 orang pekerja dirakam sedang bekerja pada hujung minggu.
Pemilik syarikat yang hanya dikenali sebagai Xing memberitahu media tempatan Hongxing News pada 16 April lalu, amalan ini dilakukan sejak sekian lama untuk menunjukkan proses kerja ‘sebenar dan telus’ sambil meyakinkan pelanggan bahawa syarikat itu sah dan boleh dipercayai.
“Ada syarikat yang mendakwa mempunyai pasukan sendiri, tetapi sebenarnya mengupah pihak luar. Kami mahu buktikan kami mempunyai pasukan sebenar yang berdedikasi,” kata Xing.
Syarikat tersebut menggaji sekitar 50 orang pekerja, namun data awam tahun 2023 menunjukkan hanya 13 orang yang didaftarkan dengan insurans, sesuatu yang mencetuskan persoalan tentang jumlah sebenar pekerja tetap.
Menurut Xing, walaupun syarikatnya menyediakan cuti hujung minggu selama dua hari, ada pekerja yang secara sukarela datang bekerja untuk menyiapkan tugasan dan mereka diberikan bayaran untuk kerja lebih masa itu.
Xing berkata, kamera siaran langsung dipasang secara jelas dan beliau tidak menerima sebarang aduan daripada pekerja berkaitan ketidakselesaan atau privasi.
Namun begitu, tindakan menyiarkan pekerja bekerja secara langsung mengundang kritikan dalam talian, termasuk kebimbangan tentang hak imej dan privasi pekerja.
“Bagaimana pekerja boleh menyuarakan rasa tidak selesa dalam suasana seperti ini? Jika mereka bersuara, ia mungkin dianggap sebagai tidak rajin bekerja,” kata seorang pengguna media sosial.
Di bawah Kod Sivil China yang berkuat kuasa sejak 2021, sebarang penggunaan atau penyiaran imej individu tanpa persetujuan adalah dilarang.
Bagaimanapun, Peguam Firma Guaman Shaanxi Hengda, Zhao Liangshan berkata, tindakan syarikat tersebut tidak melanggar hak imej kerana persetujuan sudah diperoleh daripada para pekerja.
China turut menetapkan dalam undang-undang buruh bahawa kerja lebih masa tidak boleh melebihi tiga jam sehari atau 36 jam seminggu dan pekerja mesti diberi sekurang-kurangnya satu hari cuti setiap minggu.
Namun banyak syarikat di China kerap mendorong waktu kerja hingga ke had maksimum yang dibenarkan undang-undang, dengan sesetengah pekerja hanya diberikan satu hari cuti seminggu serta bayaran lebih masa yang minimum.
Ramai individu meluahkan keletihan dan tekanan kerja secara terbuka di media sosial, namun pada masa yang sama mengakui mereka tidak mempunyai banyak pilihan dalam situasi ekonomi dan pasaran kerja semasa.-AGENSI