Suntikan ubat kurus bantu tingkat kesihatan mental

Suntikan ubat kurus bantu tingkat kesihatan mental

OZEMPIC dikatakan boleh meningkatkan emosi, kualiti hidup dan kesejahteraan pesakit melebihi rawatan yang dilakukan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERN: Suntikan kurus bukan sahaja mampu menurunkan berat badan malah memberi kesan positif terhadap kesihatan mental, menurut satu kajian antarabangsa.

Kajian terbaharu oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Bern, Switzerland mendapati ubat suntikan pengurusan berat badan yang sebelum ini dibangunkan untuk pesakit diabetes, bukan sahaja berkesan mengekang selera makan, malah membantu meningkatkan emosi, kualiti hidup dan kesejahteraan pesakit melebihi rawatan menggunakan insulin atau ubat antidiabetik lain.

Ubat jenis ini termasuklah semaglutide yang dipasarkan sebagai Ozempic dan Wegovy, tergolong dalam kumpulan dikenali sebagai glucagon-like peptide-1 receptor agonists (GLP-1 RAs).

Ia bertindak dengan melambatkan proses pencernaan dan mengurangkan selera makan.

Penyelidikan yang dibentangkan pada Kongres Eropah mengenai obesiti di Malaga, Sepanyol itu juga mendapati suntikan berkenaan adalah selamat dan berkesan untuk individu yang mengambil ubat antipsikotik atau antidepresan bagi rawatan masalah kesihatan mental yang serius.

Lima kajian terdahulu menunjukkan ubat-ubatan ini berupaya meningkatkan kesejahteraan mental dan kualiti hidup dalam kalangan individu yang menghidap gangguan spektrum skizofrenia, gangguan kemurungan utama dan gangguan afektif bipolar.

Menurut penyelidik utama, Dr. Sigrid Breit dari Universiti Bern, GLP-1 RAs mungkin mempunyai kesan antikemurungan dan antikecemasan, berkemungkinan disebabkan sifat anti-radang dan antioksidatifnya yang turut membantu mengurangkan keradangan saraf.

Kata beliau, penemuan ini penting kerana individu dengan gangguan mental serius didapati tiga kali lebih berisiko untuk mengalami obesiti berbanding populasi umum.

Pengurus dasar penyelidikan klinikal di pertubuhan Rethink Mental Illness, Rachel Hastings-Caplan pula menegaskan, golongan pesakit mental yang serius kerap kali dipinggirkan dari sudut kesihatan fizikal mereka dan secara purata me­ninggal dunia 20 tahun lebih awal akibat penyakit boleh dicegah seperti diabetes.

“Walaupun ubat suntikan ini dilihat menjanjikan, ia hanya penyelesaian jangka pendek. Pelaburan lebih besar diperlukan bagi mencari rawatan yang berkesan tanpa memberi kesan sampingan terhadap kesihatan fizikal,” katanya.

Menurut data Institut Kajian Fiskal (IFS), kira-kira 13 hingga 15 peratus golongan dewasa bekerja di England dan Wales mengalami masalah kesihatan mental jangka panjang, dengan dua juta orang sedang mendapatkan rawatan perkhidmatan kesihatan mental NHS setakat Disember lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN