SYDNEY: Sebuah stesen radio terkenal Australia dikecam selepas menggunakan hos wanita yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) selama enam bulan tanpa sebarang pendedahan kepada pendengar.
Stesen radio CADA, milik Australian Radio Network (ARN) yang bersiaran di Sydney, memperkenalkan seorang hos baharu tahun lalu bernama ‘Thy’ dan melancarkan rancangan khas bertajuk ‘Workdays with Thy’ yang ke udara selama empat jam sehari dari Isnin hingga Jumaat.
Suara Thy yang kedengaran muda dan bertenaga pada awalnya tidak menimbulkan sebarang curiga, namun ketiadaan nama penuh, latar belakang atau maklumat peribadi membuatkan pendengar mula tertanya-tanya tentang identiti sebenarnya.
Kecurigaan semakin memuncak apabila beberapa frasa yang disebut oleh Thy – seperti “old school” – kedengaran sama setiap kali ia diungkapkan.
Tekanan awam memaksa pihak ARN mengakui hos berkenaan sebenarnya ialah perisian AI yang dibangunkan oleh syarikat teknologi suara ElevenLabs dan perkara tersebut disahkan oleh ketua projeknya, Fayed Tohme, yang mengakui “Thy” hanyalah hasil kod komputer, bukan suara manusia sebenar.
“Tiada mikrofon, tiada studio, hanya kod dan suasana,” tulis Tohme dalam satu hantaran LinkedIn yang telah dipadam kemudian.
Meskipun tiada undang-undang di Australia yang melarang penggunaan kandungan berasaskan AI dalam siaran radio, ARN tetap menerima kritikan hebat kerana tidak mendedahkan perkara itu lebih awal dan didakwa menipu pendengar.
Sebagai respons, ARN mengeluarkan kenyataan rasmi mereka hanya menjalankan ujian terhadap teknologi AI, namun menegaskan tiada rancangan untuk menggantikan hos manusia dalam masa terdekat.
“Ini merupakan ruang yang sedang diteroka oleh penyiar global. Walaupun ujian ini memberi pandangan baharu yang berharga, ia turut mengukuhkan nilai unik yang dibawa oleh personaliti sebenar dalam menghasilkan kandungan yang benar-benar menarik,” menurut kenyataan itu.
Fenomena menggunakan hos berita AI menimbulkan kebimbangan banyak pihak kerana boleh menjejaskan peluang pekerjaan nyata pada masa depan.