FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menimbulkan kebimbangan ramai apabila menyatakan keraguannya sama ada semua individu, termasuk pendatang tanpa izin, berhak mendapat hak perlindungan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan AS.
Dalam satu wawancara bersama program Meet the Press terbitan NBC News yang dirakam Jumaat lalu di kediamannya di Mar-a-Lago, Florida, Trump berkata beliau tidak pasti sama ada semua individu di AS berhak mendapat proses sewajarnya mengikut undang-undang.
“Saya tak tahu. Saya bukan peguam. Saya tak tahu,” kata Trump menjawab soalan ketika ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang sebelum ini berkata semua orang di AS berhak kepada proses undang-undang.
Trump berkata, sekiranya proses undang-undang perlu diberikan kepada semua pendatang yang ditahan, ia akan memerlukan sejuta, dua juta atau tiga juta perbicaraan.
Katanya, beliau akan mengusir semua penjenayah paling berbahaya di dunia dari AS tetapi dihalang oleh sistem mahkamah.
Trump merujuk keputusan Mahkamah Agung pada 19 April lalu yang membekukan usaha pentadbirannya untuk mengusir sekumpulan migran dari Venezuela yang dituduh sebagai ahli kumpulan samseng.
Kerajaan Trump telah menggunakan undang-undang zaman perang abad ke-18 untuk menyokong tindakan itu dan kini mendesak agar larangan tersebut ditarik balik atau dikurangkan skopnya.
Peguam Cara Negara AS, Dean John Sauer dalam pemfailan kepada Mahkamah Agung menegaskan para tahanan telah diberikan notis awal dan masa yang mencukupi untuk mengemukakan semakan kehakiman namun, pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan telah mengusir ratusan lelaki tanpa sebarang bukti mereka terlibat dalam kumpulan samseng.
Dalam satu kes melibatkan Kilmar Armando Abrego Garcia, pihak berkuasa mengabaikan perintah mahkamah yang sepatutnya melindunginya daripada dihantar pulang ke El Salvador.
Peguam Jabatan Imigresen dan Kastam AS kemudiannya mengakui pengusiran tersebut adalah kesilapan pentadbiran. – AGENSI