ISTANBUL: Delegasi Russia tiba di Istanbul hari ini bagi mengadakan rundingan damai dengan Ukraine, dengan hanya diwakili seorang daripada pegawai Presiden Vladimir Putin.
Putin tidak menyertai pasukan perunding Moscow yang diumumkan Kremlin semalam, selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mencabarnya untuk hadir secara peribadi ke rundingan berkenaan.
Sebaliknya, Putin hanya menghantar pasukan pegawai rendah, yang pernah terbabit dalam rundingan damai yang gagal dicapai pada Mac 2022.
Ketiadaan Putin serta tokoh utama diplomatik seperti Menteri Luar, Sergei Lavrov, serta pembantu dasar luar, Yuri Ushakov dilihat mengurangkan keyakinan terhadap kejayaan rundingan terbabit serta peluang untuk sebarang kemajuan dicapai.
Sejak pencerobohan bermula pada Februari 2022, puluhan ribu nyawa terkorban dan Russia kini menduduki kira-kira satu perlima wilayah Ukraine dalam konflik terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Seorang pegawai Ukraine memberitahu AFP, Zelensky bertemu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Ankara dan bukan di Istanbul, hari ini.
Sebarang keputusan berhubung pendirian beliau terhadap rundingan berkenaan hanya dapat diketahui selepas pertemuan itu.
“Presiden memulakan lawatannya dengan Erdogan di Ankara dan hanya selepas itu beliau akan membuat keputusan mengenai langkah seterusnya,” kata pegawai itu.