LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengumumkan satu lagi langkah baharu bagi mengetatkan sistem migrasi negara itu, termasuk kebanyakan pendatang perlu menunggu lebih lama sebelum layak memohon bantuan kebajikan.
Kerajaan pimpinan Starmer dijangka membentangkan rang undang-undang baharu berkaitan pengurangan migrasi hari ini dalam usaha mengekang peningkatan sokongan terhadap parti Reform United Kingdom (UK) pimpinan Nigel Farage.
Sepanjang hujung minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Yvette Cooper turut mengumumkan rancangan mengehadkan visa pekerja mahir kepada pemohon bertaraf graduan, melarang sektor penjagaan kesihatan daripada merekrut pekerja asing, serta mewajibkan syarikat meningkatkan latihan kepada tenaga kerja tempatan.
“Setiap aspek dalam sistem migrasi, termasuk pekerjaan, keluarga dan pengajian, akan diperketat supaya kita mempunyai kawalan lebih besar. Tindakan penguatkuasaan akan lebih tegas berbanding sebelum ini dan jumlah migrasi akan menurun,” kata Starmer.
Antara perubahan yang diumumkan termasuk tempoh kelayakan mendapatkan status pemastautin tetap dan kewarganegaraan akan dilanjutkan daripada lima tahun kepada 10 tahun.
Bagaimanapun, golongan pekerja berkemahiran tinggi seperti jururawat, doktor, jurutera dan pakar kecerdasan buatan (AI) akan diberikan keutamaan.
Migran yang berada di UK dengan visa biasanya tidak layak menerima manfaat kebajikan atau perumahan awam.
Kerajaan turut merancang menaikkan syarat penguasaan bahasa Inggeris, dengan semua tanggungan dewasa perlu menunjukkan pemahaman asas bahasa tersebut. Langkah itu bertujuan membantu proses integrasi serta mengurangkan risiko eksploitasi.
Kemasukan pendatang dari Kesatuan Eropah (EU) ke Britain merosot secara mendadak selepas Brexit, namun peraturan visa baharu, gelombang kedatangan dari Ukraine dan Hong Kong, serta peningkatan jumlah pelajar asing menyumbang kepada lonjakan keseluruhan migrasi.