PM Britain didakwa boros belanja duit kerajaan naik jet peribadi

PM Britain didakwa boros belanja duit kerajaan naik jet peribadi

KEIR STARMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer didakwa mengamalkan ‘hipokrasi ketara’ selepas rekod menunjukkan beliau membelanjakan hampir tiga kali ganda lebih banyak wang bagi penerbangan domestik berbanding pendahulunya, Rishi Sunak.

Menurut pendedahan terkini, Starmer membelanjakan sebanyak 102,000 pound (RM584,000) untuk penerbangan dalam negara sejak Pilihan Raya Umum pada Julai lalu sebaliknya, Sunak hanya membelanjakan sekitar 36,900 pound (RM211,000) dalam tempoh 10 bulan pertama beliau memegang jawatan Perdana Menteri bermula Oktober 2022.

Ironinya, pada Januari 2023, parti Buruh yang ketika itu masih di blok pembangkang, lantang mengkritik tindakan Sunak menaiki jet Tentera Udara Diraja (RAF) dari Northolt ke Blackpool, dengan mendakwa tindakan itu sebagai satu penghinaan kepada dasar alam sekitar.

Malah, dalam ucapan di persidangan parti Buruh tahun lalu, bekas canselor bayangan, Rachel Reeves menegaskan kerajaan Buruh akan mengenakan kawalan ketat terhadap penggunaan jet peribadi oleh menteri-menteri bagi menjimatkan jutaan pound wang pembayar cukai.

Namun, pada Februari lalu, Starmer sendiri menaiki penerbangan ke Cornwall yang hanya mengambil masa 41 minit tempoh yang sama dengan penerbangan Sunak ke Blackpool yang sebelum ini dikecam hebat oleh Buruh.

Ahli Parlimen Konservatif, Mike Wood yang juga Menteri Bayangan Kabinet Pejabat Perdana Menteri berkata, tindakan Starmer jelas menunjukkan sikap ‘satu peraturan untuk mereka, lain pula untuk orang lain’.

“Ini adalah satu lagi contoh hipokrasi ketara daripada Starmer dan kerajaan Buruh. Mereka begitu cepat menuding jari ketika menjadi pembangkang, tetapi kini setelah memegang kuasa, jelas semuanya hanyalah permainan politik murahan,” katanya.

Isu ini dijangka mengundang kritikan berterusan daripada pihak pembangkang yang melihatnya sebagai bukti kerajaan baharu gagal menepati janji reformasi dan penjimatan yang dicanangkan sebelum ini. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN