SAN FRANCISCO: Perkhidmatan pengangkutan utama di San Francisco, Bay Area Rapid Transit (BART) mengalami gangguan besar sejak awal pagi semalam, menyebabkan semua tren dihentikan dan menjejaskan ribuan penumpang ke tempat kerja.
Menurut laman rasmi BART, gangguan berpunca daripada masalah rangkaian komputer dan perkhidmatan tren berjaya dipulihkan awal pagi ini tetapi kelewatan besar dijangka ke semua destinasi berikutan pemulihan operasi secara berperingkat.
Insiden ini memaksa puluhan ribu penumpang mencari alternatif lain untuk ke destinasi dengan gambar-gambar di media sosial menunjukkan orang ramai berpusu-pusu menaiki bas, manakala laporan menyatakan kesesakan teruk berlaku di Jambatan Golden Gate dan Oakland Bay.
Jurucakap BART, Alicia Trost, memaklumkan kepada ABC7, gangguan mungkin berpunca daripada masalah ketika sistem dihidupkan semula selepas penyelenggaraan pada tengah malam, namun tiada tanda ia akibat serangan siber.
BART yang memiliki 210 kilometer laluan dan membawa lebih 174,000 penumpang setiap hari, merupakan tulang belakang pengangkutan awam di kawasan tersebut.
Ramai pengguna meluahkan rasa kecewa dan seorang penumpang, David Meland memberitahu San Francisco Chronicle, dia terpaksa menunggu lebih sejam di stesen tanpa sebarang perkembangan.
“Perkhidmatan BART semakin tidak konsisten. Kali ini paling teruk,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Lapangan Terbang Newark di New York turut mengalami gangguan komunikasi semalam.
Menurut FAA, gangguan selama 90 saat itu menjejaskan pusat kawalan trafik udara Philadelphia yang mengurus laluan udara Newark.