Peneroka haram ambil tugas tentera Israel usir rakyat Palestin

Peneroka haram ambil tugas tentera Israel usir rakyat Palestin

PENEROKA haram Israel duduk di dalam pos yang didirikan di kampung Mughayyir al-Deir di daerah Dayr Dibwan, timur Ramallah di Tebing Barat yang diduduki. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Kumpulan peneroka haram Yahudi seolah-olah mengambil tugas tentera Israel yang kebanyakannya dikerah ke Gaza untuk mengusir penduduk Palestin di Tebing Barat.

The Guardian melaporkan, dua peneroka Israel yang dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain minggu ini, terlibat dalam kempen mengusir penduduk Palestin dari kampung Mughayyir al-Deir di Tebing Barat.

Seorang daripada mereka, Neria Ben Pazi, mengetuai organisasi dikenali sebagai ‘Ladang Neria’ yang turut dikenakan sekatan oleh London pada Selasa.

Sekatan diambil susulan keengganan Israel membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza serta kenyataan beberapa menteri kabinet yang menyeru untuk memulihkan wilayah itu dengan cara mengusir rakyat Palestin.

KEBAL UNDANG-UNDANG

Setiausaha Luar Britain, David Lammy mengutuk tindakan ganas peneroka haram Yahudi yang semakin ‘kebal undang-undang’ dan menegaskan sekatan dibuat bertujuan untuk memaksa pihak berkuasa Israel bertanggungjawab serta menghentikan kekejaman yang berlaku.

Ben Pazi sebelum ini dimasukkan ke dalam senarai sekatan United Kingdom (UK) tahun lalu kerana terlibat dalam pembinaan penempatan haram dan pengusiran keluarga Badwi Palestin.

Minggu ini, Ben Pazi berulang kali mengunjungi pos haram baharu yang dibina pada Ahad lalu, hanya 100 meter dari rumah penduduk Palestin di pinggir Mughayyir al-Deir, komuniti yang dihuni kira-kira 150 orang Badwi.

Ben Pazi dilaporkan menubuhkan ladangnya sendiri di kawasan timur Ramallah pada 2018 dan terlibat dalam serangan serta rampasan tanah di kawasan itu selama bertahun-tahun, menurut kerajaan Britain dan Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu lawatan baru-baru ini, Ben Pazi bergambar dan bersalaman dengan seorang lelaki yang tidak dikenali memakai pakaian seragam ala tentera.

Jurucakap tentera Israel berkata, angkatan tentera negara itu tidak membenarkan atau mengatur pemindahan paksa rakyat Palestin di Mughayyir al-Deir.

“Pemindahan yang dikatakan itu tidak dilakukan oleh tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mahupun dilakukan dengan persetujuan mereka,” katanya.

Ditanya mengapa tentera rejim tidak memusnahkan pos haram itu, mereka berkata, sebarang perobohan melibatkan keputusan politik.

“Penguatkuasaan terhadap pembinaan yang menyalahi undang-undang di kawasan itu dilakukan mengikut keutamaan yang ditetapkan oleh pihak atasan politik dan dijalankan di bawah kebenarannya,” kata jurucakap itu.

MAKIN BERANI

Seorang lagi yang hadir ke lokasi ialah Zohar Sabah, yang turut disenarai hitam oleh UK sehari sebelumnya kerana terlibat dan menyokong tindakan ganas terhadap individu Palestin.

Sabah pernah didakwa pihak berkuasa Israel pada September lalu kerana menyerang sebuah sekolah di Mu’arrajat Timur, mencederakan pelajar, guru dan pengetuanya.

Peneroka Yahudi terbabit mendirikan tempat perlindungan asas berhampiran kandang kambing dan memulakan kempen ugutan terhadap penduduk.

“Saya langsung tak boleh tidur sejak mereka datang. Anak-anak ketakutan,” kata bapa kepada 11 anak, Ahmad Sulaiman, 58, yang tinggal di rumah paling hampir dengan pos haram tersebut.

Ahmad dilahirkan di kampung itu dan sudah menetap di situ seumur hidupnya namun, menjelang Khamis, dia sudah mula mengemas barang untuk berpindah walaupun tidak tahu ke mana hendak dituju.

“Peneroka itu memberitahu tempat tinggal saya ini adalah rumah mereka. Saya tak mampu berbuat apa-apa kerana mereka mengacukan senjata,” tambahnya.

Walaupun UK mengenakan sekatan dengan harapan dapat menghentikan keganasan ini, tiada perubahan kelihatan di Mughayyir al-Deir malah, pendatang Yahudi semakin berani kerana pegawai Israel yang mengunjungi lokasi tersebut turut menyokong mereka.

Kelibat ahli Knesset daripada parti sayap kanan Religious Zionist, Zvi Sukkot dirakam aktivis ketika meninggalkan kawasan pos haram itu dan beliau menjadi sebutan kerana kenyataan kontroversinya dalam satu perbahasan televisyen di saluran Channel 12 minggu lalu.

“Semua orang sudah terbiasa dengan fakta bahawa kita boleh membunuh 100 orang Gaza dalam satu malam semasa perang dan tiada siapa di dunia yang peduli,” katanya.

Kawasan bukit berhampiran juga dipenuhi sisa kebakaran perkampungan rakyat Palestin yang sudah dikosongkan melalui kempen pengusiran serupa oleh peneroka haram Yahudi.

Pengarah Bersama Settlement Watch di bawah kumpulan Peace Now, Yonatan Mizrachi berkata, pembinaan pos haram yang begitu hampir dengan komuniti Palestin tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sejak serangan Hamas 7 Oktober 2023, penempatan haram semakin menghampiri komuniti Palestin, tetapi saya tak pernah lihat ia dibina sangat dekat seperti ini.

“Tindakan ini jelas menunjukkan peneroka haram ini langsung tiada perasaan takut malah yakin mereka tidak akan dihukum dan boleh sesuka hati masuk ke kampung Palestin untuk menetap di sana tanpa niat menjadi jiran yang baik,” katanya.

Jurucakap pertubuhan hak asasi manusia Israel B’Tselem, Shai Parnes berkata, dasar Israel untuk merampas sebanyak mungkin tanah tidak berubah namun kini berlaku peningkatan dalam kekebalan terhadap tindakan ganas oleh tentera dan peneroka haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×