PBB sahkan Russia dalang tragedi MH17

PBB sahkan Russia dalang tragedi MH17

KEADAAN lokasi kejadian sehari selepas pesawat Malaysia Airlines, MH17 ditembak jatuh di Shaktarsk, Ukraine pada 18 Julai 2014. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Agensi Penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Russia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines, MH17 pada 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada malam Isnin, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang berpangkalan di Montreal menyatakan dakwaan oleh Australia dan Belanda berhubung tragedi pada 17 Julai 2014 itu adalah berasas dari segi fakta dan undang-undang.

“Persekutuan Russia gagal menunaikan tanggungjawabnya di bawah undang-undang udara antarabangsa dalam kes tembakan ke atas pesawat MH17,” kata ICAO, sambil menegaskan ini merupakan kali pertama dalam sejarah agensi itu membuat keputusan mengenai merit sesuatu pertikaian antara negara anggota.

Pesawat jenis Boeing 777 itu dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di wilayah Donetsk di timur Ukraine kawasan yang ketika itu dikuasai kumpulan pemisah pro-Russia dan sedang bergolak akibat konflik bersenjata dengan tentera Ukraine.

Siasatan mendapati pesawat tersebut terkena peluru berpandu jenis BUK buatan Russia yang dilancarkan dari kawasan yang dikawal kumpulan pemisah.

Majoriti mangsa adalah rakyat Belanda, diikuti 38 rakyat Australia dan 30 warga Malaysia, termasuk mangsa yang mempunyai dua kewarganegaraan.

Pada tahun 2022, sebuah mahkamah Belanda mengenakan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga individu yang didapati bersalah dalam kejadian tersebut, termasuk dua rakyat Russia namun begitu, Moscow enggan mengekstradisi mereka dan terus menafikan sebarang penglibatan dalam tragedi berkenaan.

Australia dan Belanda dalam kenyataan bersama menyambut baik keputusan ICAO, menyifatkannya sebagai saat bersejarah dalam pencarian kebenaran, ke­adilan dan akauntabiliti bagi para mangsa serta keluarga mereka.

“Kami menyeru ICAO segera mengenal pasti bentuk ganti rugi yang sewajarnya atas pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Russia,” menurut kenyataan itu sambil menambah Moscow perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya.

Sementara itu, siasatan jenayah antarabangsa berhubung tragedi itu ditangguhkan tahun lalu selepas penyiasat menyatakan kekurangan bukti untuk mendakwa suspek baharu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN